Publications > Media Statements

IDEAS: Demokrasi tidak perlu dikorbankan dalam perjuangan memerangi COVID-19; adakah perintah Darurat itu satu keperluan?

  • IDEAS bimbang dengan keputusan kerajaan menggunakan perintah darurat serta mempersoalkan keperluan satu Perisytiharan Darurat
  • Krisis COVID-19 harus ditangani, tetapi hal ini boleh dan seharusnya dilakukan dalam ruang lingkup proses demokrasi kita
  • Penggantungan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri melemahkan mekanisme-mekanisme penting serta kebertanggungjawaban
  • Kerajaan perlu mengutamakan usaha menewaskan COVID-19 serta meringankan bebanan rakyat jelata berbanding melaksanakan darurat, yang boleh ditafsirkan sebagai dilaksanakan sebab-sebab politik

Kuala Lumpur, 12 Januari 2021 Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) merasa bimbang dengan perisytiharan darurat yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

IDEAS mengakui peningkatan jumlah kes COVID-19 di seluruh negara begitu membimbangkan, tetapi  Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan petang semalam mencukupi untuk mengawal penyebaran jangkitan dan meringankan beban terhadap sistem penjagaan kesihatan negara. Tada justifikasi jelas apakah tindakan-tindakan yang tidak dapat diambil oleh kerajaan yang memerlukan pelaksanaan perintah darurat.

IDEAS mengambil maklum akan pengambilalihan tentera serta penggunaan hospital swasta telah digunakan sebagai justifikasi perintah darurat, tetapi mempersoalkan sama ada terdapat undang-undang lain yang boleh diguna pakai bagi tujuan tersebut.

“Perintah Darurat diumumkan pada 12 Januari, sedangkan sebenarnya Perintah Darurat ini dilaksanakan bermula pada 11 Januari 2021, menunjukkan kekurangan ketelusan awam terhadap satu keputusan yang akan memberi kesan amat ketara kepada negara serta mata pencarian rakyat, “ulas Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh.

“Pengumuman secara mengejut telah membawa kepada spekulasi bahawa perintah ini dilaksanakan atas sebab-sebab politik berbanding disebabkan oleh kebimbangan terhadap kesihatan awam, ketika mana pelaksanaan PKP sendiri sudah memadai.

“Aspek yang paling merisaukan berkenaan Perintah Darurat ini ialah penggantungan Parlimen dan semua Dewan Undangan Negeri. Pada ketika dasar-dasar kerajaan perlu diberi penelitian lebih dari sebelumnya, penggantungan ini hanya akan membawa kepada proses membuat keputusan yang dilakukan sewenang-wenangnya serta tiada kebertanggungjawaban.

“”IDEAS menyambut baik jaminan bahawa Institusi Kehakiman tidak akan terganggu, dan juga Kumpulan Parlimen Semua Parti (APPG) selain semua Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen akan meneruskan aktiviti mereka.

“”Bagaimanapun, amat penting untuk kerajaan mengambil kira ketidaktentuan majoriti semasa di dalam Parlimen hanya akan membawa kepada lebih ketidakstabilan. Parlimen seharusnya menjadi kaedah alternatif semulajadi untuk menyelesaikan kebuntuan politik yang sedang melanda kini, tetapi Parlimen kini digantung. “Jika jawatankuasa dwipartisan benar-benar bebas sebagaimana yang diumumkan, kami sangat mengalu-alukan komitmen untuk mengadakan Pilihan Raya Umum sebaik sahaja mereka membuat pengumuman bahawa keadaan selamat untuk diadakan pilihan raya, “ kata Yeoh.

Tambahan pula, impak negatif perintah darurat terhadap ekonomi dan perniagaan bukan satu penekanan yang berlebih-lebihan.

“Covid-19 sudah pun memberi kesan terhadap banyak perniagaan, terutamanya secara negatif terhadap Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Banyak antaranya yang tiada pilihan lain selain dari terpaksa memberhentikan para pekerja malah terdapat juga yang terpaksa menutup perniagaan mereka. Kini apabila Perintah Darurat sudah diisytiharkan, saya khuatir perniagaan dan sentimen pelabur akan lebih terjejas.

“Apa sahaja keputusan yang akan diambil mulai sekarang, IDEAS yang berada dalam organisasi masyarakat sivil secara konsisten akan terus memastikan agar kerajaan bertindak secara telus dan bertanggungjawab. Kini adalah masanya membuat keputusan-keputusan yang sukar; memberi keutamaan kepada tadbir urus baik yang melaksanakan tanggungjawab terhadap semua rakyat Malaysia, dan untuk memastikan tumpuan penuh diberikan kepada pemulihan, “ tambahnya.

Penyalahgunaan kuasa dan pergelutan demi kelangsungan politik harus diketepikan demi negara.

— TAMAT —

Untuk sebarang pertanyaan media, hubungi tricia@ideas.org.my

2021-01-13T09:51:54+08:00 13th January 2021|Media Statements|Comments Off on IDEAS: Demokrasi tidak perlu dikorbankan dalam perjuangan memerangi COVID-19; adakah perintah Darurat itu satu keperluan?