Publications > Media Statements

IDEAS: Dedahkan perincian Rel Berkelajuan Tinggi (HSR), Tingkatkan tadbir urus baik pembangunan infrastruktur

Kuala Lumpur, 7 Januari 2021 Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) ingin mengulangi seruan terhadap kerajaan agar bersikap lebih telus dalam mendedahkan pelbagai isu berkenaan Rel Berkelajuan Tinggi (HSR), terutamanya justifikasi penuh mengenai cadangan pihak kerajaan untuk menyingkirkan AssetCo dari struktur projek asal serta kos projek yang sudah ditanggung oleh Malaysia. Mesej yang bercanggah dari pihak kerajaan Malaysia dan Singapura mengenai alasan penamatan projek telah menyebabkan ketidaktentuan terhadap pelabur dan lebih menghakis kepercayaan awam dalam tadbir urus infrastruktur.

“Kami berbesar hati pihak kerajaan bertujuan untuk mencapai nilai untuk wang yang lebih baik dengan membuat keputusan untuk menangguhkan projek HSR ini ke satu tarikh terkemudian serta menilai semula struktur semasa projek, model perniagaan, infrastruktur, dan reka bentuk sistem”, ulas Tricia Yeoh, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS. “Namun, keputusan Malaysia untuk menyingkirkan AssetCo dari struktur projek perlu diberi justifikasi yang penuh kepada masyarakat awam. Menteri Pengangkutan Singapura, Ong Ye Kung mendedahkan kepada Parlimen Singapura pada 4 Januari bahawa berikut merupakan sebab utama satu persetujuan tidak dapat dicapai. Pihak kerajaan perlu menyatakan bagaimana penyelesaian alternatifnya akan menjadi versi yang lebih baik daripada versi AssetCo. Ketika mengemukakan alternatif tersebut, kerajaan juga perlu memastikan pelantikan kontraktor dilakukan dengan telus dan berdaya saing”, tambah Tricia.

Kekurangan projek HSR ini perlu menjadi pemangkin terhadap pembaharuan yang sangat diperlukan dalam perancangan infrastrutur dan tadbir urus pembangunan infrastruktur. Beberapa tahun belakangan ini, Malaysia mengalami pengalaman yang bergolak dengan projek-projek mega seperti ECRL, Melaka Gateway, MPP-TSGP dan banyak lagi. Ketika perubahan kerajaan dan wabak COVID-19 kemungkinan menyumbang kepada pergolakan ini, kes-kes sebegini turut mendedahkan masalah yang mendasari sistem pengurusan infrastruktur semasa.

Apa yang diketengahkan oleh HSR dan projek infrastruktur lain ialah ketelusan merupakan satu komponen penting dalam tadbir urus infrastruktur yang berkesan. Dalam kes HSR, maklumat yang ada berkenaan bagaimana kerajaan bertujuan untuk mencapai nilai untuk wang selepas penangguhan projek pada tahun 2018 sangat terhad. Pendedahan maklumat asas seperti struktur projek dan perjanjian kewangan antara kerajaan diperlukan demi penilaian bebas terhadap kebolehlaksanaan projek. Ketelusan awam juga penting dalam mempromosikan kebertanggungjawaban awam dan memastikan kecekapan penggunaan dana awam.

Projek-projek sebegini juga menunjukkan keperluan kepada satu kaedah perancangan dan pemilihan projek berdasarkan kepada keperluan ekonomi yang lebih sistematik serta pemilihan projek yang mempunyai kadar pembayaran balik kos yang tertinggi. Hal ini perlu dilaksanakan oleh satu badan bebas supaya dapat mencapai perancangan strategik keperluan infrastruktur negara dengan berkesan. Hal ini juga akan memastikan projek infrastruktur mencapai keseimbangan antara kemampuan dan kelestarian fiskal di samping menyediakan infrastruktur penting.

Akhir sekali, perubahan kerajaan dua kali dalam masa kurang dari dua tahun telah memberi kesan terhadap pembangunan infrastruktur negara kita. Malaysia memerlukan sistem pengurusan infrastruktur yang lebih stabil yang melibatkan pengawasan Parlimen dan penelitian awam yang lebih hebat. Jawatankuasa Pilihan Khas Pembangunan Infrastruktur Dewan Rakyat yang baru ditubuhkan harus memainkan peranan yang aktif dalam permulaan, pelaksanaan, dan pemantauan projek infrastruktur awam negara. Semak dan imbang tambahan melalui perbahasan Parlimen juga akan mengukuhkan lagi ketelusan dan kestabilan projek pada masa hadapan.

“HSR sebahagian besarnya merupakan satu kisah bagaimana politik dan wabak mampu mengganggu satu kemungkinan kerjasama pembangunan infrastruktur unik antara Malaysia dan Singapura. Kita perlu memastikan kestabilan dalam projek-projek masa hadapan dengan memasukkan penelitian awam dan Parlimen yang lebih besar dalam proses membuat keputusan projek-projek infrastruktur yang besar”, tambah Tricia Yeoh lagi.

— END —
 Untuk sebarang pertanyaan media, hubungi tricia@ideas.org.my
2021-01-07T11:46:14+08:00 7th January 2021|Media Statements|Comments Off on IDEAS: Dedahkan perincian Rel Berkelajuan Tinggi (HSR), Tingkatkan tadbir urus baik pembangunan infrastruktur