• About Us
    • Our History
    • Our People
    • Our Funding
    • Work With Us
    • Contact Us
  • Research
    • Democracy and Governance
    • Economics and Business
    • Public Finance
    • Social Policy
  • Events
    • Future Events
    • Previous Events
  • News & Opinion
  • Digital Media
  • Publications
  • About Us
    • Our History
    • Our People
    • Our Funding
    • Work With Us
    • Contact Us
  • Research
    • Democracy and Governance
    • Economics and Business
    • Public Finance
    • Social Policy
  • Events
    • Future Events
    • Previous Events
  • News & Opinion
  • Digital Media
  • Publications
  • Home
  • All Posts
  • News & Opinion Media Statement
  • IDEAS dan Relate Malaysia seru strategi pencegahan bunuh diri bagi mengelakkan peningkatan kematian

IDEAS dan Relate Malaysia seru strategi pencegahan bunuh diri bagi mengelakkan peningkatan kematian

July 7, 2021
Categories
  • Media Statement
Tags
  • Bahasa Melayu
  • COVID-19
  • kesihatan mental

Kuala Lumpur, 07 Julai 2021 – Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dan Relate Malaysia menyeru agar satu strategi pencegahan bunuh diri dirangka dengan kadar yang segera.

Kedua-duanya memberi amaran bahawa sikap dan tindak balas rasmi semasa tidak menumpukan perhatian kepada tekanan yang dihadapi oleh orang ramai disebabkan wabak dan sekatan pergerakan yang dikenakan. IDEAS dan Relate Malaysia menekankan bahawa sokongan kesihatan mental serta pencegahan bunuh diri bukan sekadar mewujudkan talian hotline. Tambahan pula, talian ini juga mengalami kesesakan akibat dihujani banyak panggilan kecemasan. Fokus perlu diberikan kepada pembangunan strategi yang menyeluruh agar dapat menangani kekurangan professional di dalam perkhidmatan kesihatan mental dan juga capaian terhad kepada perkhidmatan digital dan prasarana kesihatan mental.

Kedua-dua organisasi mengambil maklum serta menzahirkan kebimbangan akan bilangan kes bunuh diri yang dicatatkan di Malaysia pada tahun 2021. Sejumlah 631 kes bunuh diri dicatatkan pada tahun 2020, manakala antara bulan Januari hingga Mei 2021 sahaja, sudah 468 kes dicatatkan bersamaan dengan purata tiga kes bunuh diri setiap hari sepanjang lima bulan yang lalu.  Hal ini merupakan sesuatu yang amat merunsingkan kerana kajian lepas telah menunjukkan bahawa terdapat satu kematian dalam setiap 20 cubaan bunuh diri. 

Tambahan pula, Malaysia mempunyai jumlah mangsa berusia muda yang tidak berimbang sebagaimana yang dinyatakan dalam statistik bunuh diri rasmi. Statistik ini berkemungkinan menunjukkan angka yang jauh lebih rendah berbanding angka sebenar bunuh diri di seluruh Malaysia. Antara tahun 2019 hingga bulan Mei 2021, dicatatkan terdapat keseluruhan 1708 kes bunuh diri yang merangkumi sejumlah 872 kes yang melibatkan mangsa berusia 15 hingga 18 tahun.

Kadar pengangguran yang semakin meningkat, pengasingan serta pergerakan yang terhad akibat COVID-19, dan ketidakpastian tentang pengakhiran krisis ini di Malaysia telah menyebabkan peningkatan kemurungan, kebimbangan, serta masalah kesihatan mental dan sosial yang lain (seperti keganasan rumah tangga). Masalah berikut merupakan faktor-faktor penyebab risiko bunuh diri. Strategi yang berkesan amat diperlukan ketika ini untuk membendung trend yang merisaukan ini, terutamanya dalam kalangan belia. Bunuh diri adalah salah satu daripada penyebab utama kematian rakyat Malaysia berusia antara 15-29 tahun, seperti yang dinyatakan dalam kertas cadangan dasar kami yang boleh dimuat turun di sini.

Pengasas Relate Malaysia, Dr. Chua Sook Ning berkata, “Bunuh diri mampu dicegah. Kita perlukan lebih banyak data untuk memahami risiko dan faktor pelindung. Kita perlu mula menawarkan pencegahan bersasar dengan lebih proaktif sebagai sebahagian daripada strategi pencegahan bunuh diri kebangsaan. Pihak universiti harus meningkatkan usaha sedia ada dalam membuat pelaburan terhadap kajian kesihatan mental dan pembangunan pencegahan kesihatan mental pelajar supaya dapat membangunkan generasi masa hadapan yang berdaya tahan.”

Beliau menambah, “Terdapat keperluan terhadap kesedaran dan pendidikan awam yang lebih tinggi tentang kepentingan serta manfaat mendapatkan sokongan kesihatan mental. Kepercayaan berasaskan adat resam bahawa mendapatkan bantuan adalah satu kelemahan merupakan satu kefahaman yang salah. Malah, ia akan mengakibatkan kesan yang berbahaya kerana menghalang pesakit mendapatkan bantuan yang diperlukan disebabkan ketakutan dan salah tanggapan.”

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh berkata, “IDEAS mengalu-alukan keputusan kerajaan memperuntukkan dana kepada badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyokong kesihatan mental di bawah pakej PEMULIH. Namun, kami menggesa agar ketelusan dalam penentuan NGO yang akan menerima dana serta penggunaan dana ini dalam pencegahan bunuh diri dan juga kesihatan mental dapat diamalkan.”  

Tricia, ketika memberikan maklum balas berkenaan keputusan kerajaan untuk menghantar pegawai JAKIM ke hospital di seluruh negara dalam usaha menangani krisis bunuh diri menambah, “agama dan kepercayaan mampu menjadi satu faktor pelindung terhadap bunuh diri, dan langkah meletakkan pegawai terlatih di hospital dapat membantu meningkatkan kebolehcapaian kepada sokongan keagamaan untuk sesiapa yang memerlukannya. Walaupun begitu, amat penting untuk memastikan bahawa keputusan untuk meletakkan pegawai JAKIM di hospital seluruh negara bukanlah untuk menggantikan pegawai professional terlatih yang memberikan perkhidmatan pencegahan bunuh diri berasaskan kajian psikologi.”

IDEAS dan Relate Malaysia juga menekankan bahawa menyahjenayah bunuh diri penting dalam mana-mana usaha menjamin keberkesanan strategi pencegahan bunuh diri kebangsaan. Penjenayahan bunuh diri akan menyebabkan beberapa penyedia perkhidmatan kesihatan mental bersikap tidak berperikemanusiaan terhadap individu yang melakukan percubaan bunuh diri dan dalam proses pemulihan. Penjenayahan bunuh diri juga akan memburukkan lagi kecenderungan bunuh diri kerana pesakit enggan mendapatkan bantuan kerana takut ditangkap. Malah, individu yang melakukan percubaan bunuh diri juga akan dibiarkan tidak berdaya dalam proses pemulihan jika mereka dilayan sebagai penjenayah. IDEAS dan Relate Malaysia menggesa agar nyahjenayah bunuh diri akan menjadi keutamaan apabila Parlimen kembali bersidang kelak, seperti yang telah kami sarankan dalam kertas cadangan kami sebelum ini.

— TAMAT —

Muat Turun Kenyataan Media PDF Fail Di Sini

Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Zokhri Idris, Ph.D, Pengarah, Perhubungan Luar
T: +603 2070 8881/8882 E: zokhri@ideas.org.my

Mengenai Relate Mental Health Malaysia
Relate Mental Health Malaysia merupakan satu organisasi bukan berasaskan keuntungan yang ditubuhkan untuk meningkatkan kesedaran dan tahap celik kesihatan mental; mempromosi pencegahan dan pengantaraan awal melalui penyelidikan, bantuan dan saranan dasar; dan membangunkan pengantaraan yang berkesan, mudah dicapai dan berasaskan bukti. Diasaskan oleh ahli psikologi klinikal dan sarjana pelawat Harvard, Dr. Chua Sook Ning, Relate Malaysia berusaha agar seluruh rakyat Malaysia mempunyai peluang yang saksama untuk menikmati hak asasi manusia yang menepati piawaian tertinggi kesihatan mental. Untuk maklumat lanjut, layari www.relate.com.my

Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Dr Chua Sook Ning, Pengasas, Pengarah Klinikal
E: sookning@relate.com.my

Share

Related posts

November 14, 2025

IDEAS: ASEAN Must Continue to Streamline Standards and Reduce Regulatory Complexity to Increase Small Business Participation In Regional Markets


Read more
November 14, 2025

IDEAS: ASEAN Perlu Perkemas Piawaian dan Kurangkan Kerumitan Pengawalseliaan untuk Tingkatkan Penyertaan Perniagaan Kecil dalam Pasaran Serantau


Read more
October 31, 2025

IDEAS: US Pact Undercuts Malaysia’s Regional Partnerships and Neutrality while Delivering Little Reassurance for Businesses


Read more

Comments are closed.

Categories

  • Digital Media
    • Infographic
    • Podcast
    • Video
  • News & Opinion
    • Blog
    • Media Statement
    • News
    • Opinion

Follow Us

Contact Us

  • +603 – 2070 8881 / 8882
  • +603 – 2070 8883
  • admin@ideas.org.my

Sign up for our newsletter

© Copyright - 2025 | ideas.org.my | Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS)