Publications > Media Statements

IDEAS: ASEAN perlu bekerjasama untuk memastikan pemulihan ekonomi pada 2021

  • Negara anggota ASEAN mempunyai kejayaan yang bercampur campur dalam melawan wabak COVID-19 pada tahun 2020.
  • Kelemahan dalam kerangka kerja ASEAN dalam bidang seperti rantaian bekalan dunia, penerbangan, pendigitalan dan migrasi telah terzahir selepas wabak COVID-19 meletus dan kelembapan ekonomi.
  • Krisis ini menyerlahkan keperluan kepada kerjasama serantau serta membina institusi yang akan memperkuat integrasi serantau ASEAN di kala pemulihan dari wabak sedang berlangsung.

Kuala Lumpur, 30 November 2020 IDEAS telah menerbitkan ASEAN Integration Report 2020: To Compete or Co-operate? A call for ASEAN Convergence in Policy in the Wake of COVID-19. Pertumbuhan ekonomi kebanyakan negara ASEAN kelihatan menurun pada suku kedua tahun 2020, dan pemulihan kelihatan sedang berlaku pada suku ketiga. Walaupun tindak balas utama terhadap wabak telah berlangsung pada peringkat nasional, tindak balas serantau oleh ASEAN dapat memainkan peranan pelengkap kepada usaha ini. Penandatanganan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) baru baru ini antara 10 negara anggota ASEAN dan 5 rakan kongsi perdagangan terbesarnya harus membuka jalan kepada kerjasama serantau yang lebih baik dalam mengusahakan pembaharuan struktural terutamanya di dalam kerangka kerja tadbir urus ASEAN supaya dapat memacu integrasi ekonomi yang lebih berkualiti tinggi.

Laporan ini menilai situasi integrasi ASEAN dalam empat perkara berbeza serta menyoroti cabaran dan peluang yang terhasil disebabkan wabak:

  • Rantaian bekalan: dengan beberapa buah ekonomi bersaing untuk peranan sebagai pangkalan pembuatan utama serantau dalam gelombang terkini penempatan semula syarikat-syarikat dari China, hal ini merupakan sesuatu yang amat menarik minat negara-negara anggota untuk bersaing demi Pelaburan Langsung Asing (FDI) dalam satu perlawanan “race to the bottom”. Namun, untuk jangka masa panjang, laporan tersebut menyimpulkan adalah lebih baik untuk negara anggota ASEAN berusaha ke arah matlamat integrasi ekonomi.

  • Penerbangan: perjalanan udara telah terjejas teruk disebabkan wabak ini, tetapi integrasi pasaran penerbangan ASEAN menawarkan satu jalan ke arah pemulihan. Hal ini termasuk meliberalisasikan ruang udara ASEAN melalui pembaharuan dalam keperluan-keperluan kapar terbang serantau dan mengendurkan sekatan-sekatan pemilikan syarikat-syarikat penerbangan ASEAN untuk membolehkan penyatuan industri.
  • Pendigitalan logistik: wabak ini telah menekankan keperluan terhadap pendigitalan logistik, untuk menyokong pertumbuhan pantas dalam e-dagang yang dipercepatkan oleh penjarakan sosial. Laporan ini menggariskan langkah-langkah yang boleh diambil ASEAN untuk mengikuti jejak langkah Kesatuan Eropah (EU), bermula dengan menubuhkan satu pasukan petugas khas Pengangkutan dan Logistik Digital baharu untuk kedua-dua pemegang taruh awam dan persendirian supaya dapat mewujudkan satu perancangan dan visi sepunya demi integrasi digital sektor logistik rantau ini.
  • Migrasi: pergerakan manusia melangkaui sempadan telah terhenti, menyerlahkan kebergantungan ekonomi ASEAN terhadap migrasi serantau. Namun, laporan ini menyoroti tumpuan tidak sama rata dalam dasar-dasar migrasi ASEAN terutamanya yang wujud demi memudahkan mobiliti buruh bergaji tinggi, bukan menambah baik tadbir urus buruh bergaji rendah – yang merangkumi sebahagian besar orang – dan mencadangkan kepada ASEAN agar mengambil peluang ini untuk menerima pakai dasar-dasar yang akan memudahkan migrasi serta meminimumkan penganiayaan.

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh ketika mengulas perkara ini berkata, “Satu kesimpulan yang tidak mengejutkan tetapi sentiasa relevan daripada laporan ini ialah kerjasama berbanding persaingan sangat penting dalam strategi pemulihan COVID-19 bermula dari pelancongan, rantaian bekalan dunia, penerbangan, pendigitalan sehingga migrasi. Asas kepada integrasi serantau ASEAN telah ditetapkan melalui usaha-usaha yang dilakukan baru baru ini seperti pelancaran Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) pada tahun 2015 dan AEC Blueprint 2025. Namun, wabak ini telah mendedahkan had keterbatasan situasi semasa integrasi ASEAN. Negara-negara anggota ASEAN perlu mengambil peluang wabak ini untuk mengambil langkah-langkah yang konkrit dalam mengukuhkan hubungan sebagai sebahagian dari satu pemulihan yang lestari.”

Laporan ini merupakan kemuncak kepada pelbagai kertas cadangan dan aktiviti advokasi pada tahun lepas di bawah ASEAN Prosperity Initiative (API) IDEAS. Laporan ini menggesa kerajaan-kerajaan ASEAN untuk mempertimbangkan satu pendekatan yang memberi lebih penumpuan terhadap kerjasama ketika rantau ini menjalani pemulihan dari wabak. Laporan ini merangkumi input dari Dr. Jayant Menon (Fellow Kanan Pelawat di ISEAS dan Fellow Kanan di IDEAS), Ridha Aditya Nugraha (Penolong Profesor di Universitas Prasetiya Mulya), Suraj Nair (Penyelidik – Ekonomi Politik Perindustrian Malaysia), dan pasukan penyelidik IDEAS.

— TAMAT —
Untuk sebarang pertanyaan, hubungi amir@ideas.org.my
2020-12-08T16:23:27+08:00 1st December 2020|Media Statements|Comments Off on IDEAS: ASEAN perlu bekerjasama untuk memastikan pemulihan ekonomi pada 2021