Kuala Lumpur, 7 Oktober 2022 – Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mengalu-alukan ratifikasi Perjanjian Perkongsian Komprehensif dan Progresif Trans-Pasifik (CPTPP) seperti yang diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) baru-baru ini setelah berunding selama lapan tahun. IDEAS maklum bahawa meratifikasi CPTPP akan membantu menghidupkan semula aktiviti perdagangan dan pertumbuhan ekonomi dalam situasi pemulihan ekonomi daripada pandemik dan kemelesetan ekonomi dunia yang akan melanda tahun hadapan.
Dr Tricia Yeoh, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS menggariskan bahawa, “CPTPP merupakan sebuah perjanjian perdagangan bebas mega melibatkan 11 buah negara anggota merentasi Lingkungan Pasifik. Pada tahun 2019, ekonomi negara anggota CPTPP secara kolektif merangkumi 13% daripada KDNK dunia. Namun, tidak seperti perjanjian perdagangan bebas (FTA) tradisional, CPTPP melangkaui menyediakan capaian pasaran hanya untuk barangan, perkhidmatan dan pelaburan sahaja kerana perjanjian ini menyasarkan untuk menyediakan piawaian berkualiti tinggi berkenaan permasalahan seperti perusahaan milik negara (SOE), perolehan awam, alam sekitar dan buruh. IDEAS mengucapkan tahniah kepada kerajaan Malaysia, terutamanya para perunding daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) atas pencapaian yang ditunggu-tunggu ini. Kami menantikan untuk melihat bagaimana perjanjian perdagangan ini akan merangsang produktiviti ekonomi negara dalam jangka sederhana sehingga jangka panjang, terutamanya dalam meletakkan piawaian yang tinggi dalam ekonomi kita di kedua-dua peringkat persekutuan dan negeri.”
Malaysia telah menyertai lelaran asal perjanjian ini, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), pada pusingan ketiga perundingan pada bulan Oktober 2010. Berikutan pusingan ke-19 dan terakhir perundingan pada tahun 2013, TPP yang asal akan dimuktamadkan, dengan Malaysia kemudiannya menandatangani perjanjian itu pada bulan Februari 2016 bersama-sama 11 negara anggota pengasas yang lain. Apabila Amerika Syarikat menarik diri pada awal tahun 2017, 11 baki negara anggota telah bersidang pada bulan Mei 2017 di luar Mesyuarat APEC MRT di Hanoi, Vietnam untuk membuat penegasan tentang kepentingan TPP. 11 negara anggota ini kemudiannya bertemu dalam beberapa pusingan untuk mencari jalan agar dapat melaksanakan TPP tanpa Amerika Syarikat.
Akhirnya, telah dipersetujui bahawa TPP akan digantikan dengan CPTPP, yang Malaysia menjadi penandatangan pada 8 Mac 2018 di Santiago, Chile. Walaupun isi kandungan utama perjanjian asal kebanyakannya dikekalkan, terdapat 22 peruntukan TPP yang telah digantung atau diubah dalam CPTPP. Berkenaan penyelesaian pertikaian pelabur-negara (ISDS) terutamanya, dalam CPTPP pelabur asing tidak lagi boleh melakukan tuntutan ISDS kerana melanggar kontrak pelaburan swasta dengan Kerajaan, atau kebenaran pelaburan.
Dalam perjalanan Malaysia untuk meratifikasi CPTPP, beberapa undang-undang telah diluluskan sejak tahun 2018. Sembilan daripada 14 akta di peringkat persekutuan yang berkaitan dengan CPTPP telah diluluskan di Parlimen. Baki lima akta dan ordinan, iaitu Akta Kerja 1955, Akta Kesatuan Sekerja 1959, Ordinan Buruh (Sabah Bab 67), Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76), dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 juga telah dibentangkan di Parlimen untuk pindaan.
“Walaupun dengan data yang terhad, data kuantitatif dan kualitatif awal rakan kongsi yang telah meratifikasi CPTPP menunjukkan arah aliran positif ke atas eksport, import dan pelaburan lapangan hijau setakat ini berdasarkan penemuan awal yang dikongsikan di Persidangan Penyelidikan Institut Daya Saing Asia mengenai Menilai Kesan CPTPP,” kata Dr Juita Mohamad, Pengarah Penyelidikan IDEAS. “Walaupun ratifikasi perjanjian menandakan satu peristiwa penting, penilaian berterusan ke atas kesan CPTPP di lapangan perlu dilakukan di dalam negara dan di kalangan ahli CPTPP. Sokongan tambahan juga diperlukan PKS untuk meningkatkan daya saing mereka supaya mereka boleh mengambil bahagian dengan berkesan dalam rantaian bekalan.”
— TAMAT —
Muat Turun Kenyataan Media PDF Fail Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Dr Juita Mohamad, Pengarah Penyelidikan;
Pengarah, Unit Ekonomi dan Perniagaan
T: +603 2070 8881/8882 | E: juita@ideas.org.my
Louis Denis, Pengurus Perhubungan Luar, IDEAS Malaysia
T: +603 2070 8881/8882 | E: louis@ideas.org.my