Kuala Lumpur, 22 Julai 2021: Ahli Parlimen, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada hari ini meminta untuk dibicarakan atas tuduhan menyalahgunakan wang berjumlah RM1 juta milik bekas partinya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Pendakwaan terhadap Syed Saddiq ini disusuli selepas keputusan Mahkamah Rayuan untuk mengubah sabitan rasuah RM2 juta terhadap YB Tengku Adnan Tengku Mansor, mantan Menteri Wilayah Persekutuan. Mahkamah telah memutuskan bahawa wang berjumlah RM2 juta tersebut merupakan sumbangan politik kepada UMNO untuk dua pilihan raya kecil pada tahun 2016.
IDEAS percaya masih terdapat perbicaraan-perbicaraan lain yang melibatkan penyalahgunaan dana politik. Mantan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohammad Najib Tun Abdul Razak telah dibicarakan kerana sejumlah besar wang sumbangan dari Timur Tengah dimasukkan ke dalam akaun peribadinya. Beliau menjelaskan bahawa sumbangan tersebut bertujuan untuk mengekalkan Malaysia sebagai satu model tadbir urus Islamik serta kemajmukan budaya secara aman damai. Perbicaraan penyalahgunaan dana memberikan isyarat bahawa terdapat kelompongan perundangan dalam mengawal selia pendanaan politik di Malaysia.
“Dua kes yang melibatkan ahli politik daripada parti yang berbeza ini merupakan contoh terbaik untuk menunjukkan sistem pendanaan politik Malaysia memerlukan satu rombakan segera dan menyeluruh. Ketika ini, pendanaan politik tidak dikawal selia malah, had perbelanjaan kempen yang dinyatakan di dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya adalah sangat rendah. Selagi sistem ini kekal tidak dikawal selia, lebih banyak kes seperti kes Syed Saddiq dan Tengku Adnan akan muncul. Kekaburan tentang pengertian sumbangan politik juga akan berterusan,” ulas Tricia Yeoh, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS.
“Kami maklum bahawa satu Rang Undang-undang Pendanaan Politik telah dirangka dan kami menyeru pihak kerajaan untuk memberikan penjelasan tentang status rang undang-undang tersebut. Walaupun telah dibawa berunding beberapa kali, organisasi masyarakat sivil masih belum mengetahui isi kandungan rang undang-undang tersebut. IDEAS menyarankan rang undang-undang yang ingin dilaksanakan untuk mengandungi prinsip-prinsip berikut: satu mekanisme pendanaan awam yang bersesuaian untuk parti politik, ketelusan dalam sumbangan dan perbelanjaan, larangan terhadap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) daripada membuat sumbangan politik dan yang terakhir, ketelusan aset dan perniagaan yang dimiliki oleh parti-parti politik,” tambah Yeoh.
“Apabila tiada ketelusan dalam sesuatu sistem, ahli politik akan sesuka hati bertindak dalam mengumpul dan membelanja dana politik. Ini akan mengakibatkan defisit kepercayaan terhadap ahli dan sistem politik kita untuk jangka masa panjang, termasuk akan berlaku hakisan keyakinan rakyat terhadap sistem penguatkuasaan undang-undang serta kehakiman. Demokrasi kita pasti akan merudum dalam jangka panjang. Kami menggesa pihak kerajaan agar mempertimbang untuk memulakan kembali dialog tentang kepentingan ketelusan dalam pendanaan politik dan IDEAS sedia untuk membantu proses ini.
Kami ingin menekankan bahawa satu Akta Pendanaan Politik akan memberikan manfaat kepada semua parti politik, kerana mereka akan diberikan layanan adil dan sama rata oleh satu pengawal selia bebas. Parti-parti politik juga akan memberikan penyataan kewangan mereka kepada pengawal selia tersebut. Memperkemaskan undang-undang pendanaan politik negara akan meningkatkan hasil serta mengurangkan rasuah politik untuk jangka masa panjang,” simpul Yeoh.
— TAMAT —
Muat Turun Kenyataan Media PDF Fail Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Zokhri Idris, Ph.D, Pengarah, Perhubungan Luar
T: +603 2070 8881/8882 E: zokhri@ideas.org.my