Home Events Diskusi Atas Talian: Cabaran COVID-19 dan Masa Depan Sektor Pelancongan

Diskusi Atas Talian: Cabaran COVID-19 dan Masa Depan Sektor Pelancongan

Pada 21 Ogos 2020 yang lalu, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) telah menganjurkan satu webinar yang bertajuk “Diskusi Atas Talian: Cabaran COVID-19 dan Masa Depan Sektor Pelancongan”. Tujuan webinar ini diadakan ialah untuk membincangkan kesan krisis kesihatan semasa COVID-19 terhadap sektor pelancongan di samping mendapatkan gambaran awal sektor ini selepas COVID-19. Penyelidik Kanan Ekonomi, Adli Amirullah dari Unit Ekonomi dan Perniagaan IDEAS mengendalikan acara ini sebagai moderator dan turut disertai oleh dua orang panelis. Webinar ini telah diadakan menggunakan Bahasa Melayu untuk menarik minat penonton yang lebih luas.

Dalam ucapan aluan dan pembentangannya, Adli telah menggariskan kesan krisis kesihatan COVID-19 kepada ekonomi Malaysia dan kepentingan pelan jangka panjang dalam memastikan pemulihan yang pantas. Beliau turut membangkitkan beberapa persoalan untuk merancakkan perbincangan. Pertama, bagaimanakah prestasi pemain-pemain industri sebelum COVID-19, dan sejauh mana wabak ini memberi kesan kepada industri? Kedua, apakah inisiatif-inisiatif jangka pendek yang telah diambil oleh kerajaan untuk mengatasi kesan langsung krisis kesihatan ini? Ketiga, apakah cabaran utama yang dihadapi oleh sektor pelancongan, dan adakah cabaran tersebut telah wujud pra-COVID-19? Keempat, apakah usaha-usaha terkini yang diambil oleh kerajaan untuk menangani masalah-masalah genting dalam sektor pelancongan? Kelima, apakah perancangan jangka panjang yang diperlukan untuk pemulihan sektor pelancongan selepas COVID-19?

Panelis pertama, Encik Uzaidi Udanis, Presiden Majlis Pelancongan Malaysia, memberikan respon dengan menggariskan fokus awal kebanyakan pemain industri ialah terhadap kempen yang sangat dinantikan, iaitu Tahun Melawat Malaysia 2020. Namun, apabila bermulanya wabak, pemilik-pemilik perniagaan terpaksa melakukan perubahan drastik terhadap model perniagaan mereka untuk menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku. Sektor pelancongan yang dinamik menyebabkannya terdedah kepada kejutan dari luar, seperti krisis kesihatan dan krisis alam sekitar. Walau bagaimanapun, wabak ini juga telah menjadi kejutan kepada sektor pelancongan untuk menangani jumlah pelancong yang menurun, kekurangan inovasi produk, dan juga keengganan untuk bertukar kepada operasi secara digital. Beliau juga menekankan kepentingan pemilik perniagaan menjajarkan semula strategi perniagaan mereka dengan cara memberikan tumpuan terhadap jangkaan pelancong, bukan lagi kos, masa, dan pengalaman. Melalui Neksus Produktiviti Pelancongan, beliau mencadangkan pelaksanaan 5R, iaitu penciptaan semula produk (reinvent products), kajian pasaran sasaran (research target market), pemasaran dan promosi jarak jauh (remote marketing and promotion), penggunaan teknologi yang tepat (right on technology), dan memulihkan industri pelancongan (recuperate the tourism industry). Beliau turut menggalakkan pemain-pemain industri untuk memanfaatkan pelbagai subsektor yang ada seperti ekopelancongan, agropelancongan, dan pelancongan sukan di samping mematuhi tatacara pengendalian piawai (SOP) sedia ada untuk mengekang wabak ini.

Panelis kedua, Dato’ Dr. Noor Zari bin Hamat, Ketua Setiausaha, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya membincangkan penubuhan Majlis Tindakan Pemulihan Pelancongan (TRAC) bersama pelbagai pemegang taruh untuk memahami  dan mengurangkan kesan wabak terhadap sektor pelancongan. Oleh itu, kerajaan telah memulakan misi untuk memulihkan dan menghidupkan semula sektor pelancongan. Pakej rangsangan ekonomi, PENJANA, memperuntukan dana sebanyak RM1 bilion khusus untuk sektor pelancongan. Beliau turut mencadangkan pemasaran produk sedia ada dilakukan dengan betul supaya dapat menarik pelancong domestik. Mengenai pemulihan jangka panjang sektor pelancongan, beliau menggesa masyarakat awam untuk meyakini usaha-usaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dalam memastikan keselamatan dan kesihatan awam ketika melancong. Beliau turut menggalakkan pelancongan domestik dalam kalangan rakyat Malaysia di samping mengakui usaha-usaha mewujudkan gelembung-gelembung pelancongan sebagai satu permulaan kepada pelancongan rentas sempadan. Dato’ Dr. Noor Zari juga menegaskan kepentingan menumpukan kepada subsektor spesifik seperti pelancongan kesihatan dan MICE (mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran) sebagai sebahagian daripada pelan pemulihan sektor pelancongan serta menganjurkan penglibatan pemegang taruh yang lebih besar antara agensi kerajaan berkaitan dan pemain utama industri. Akhir sekali, beliau turut menyeru semua pihak bekerjasama dalam memastikan pemulihan pantas sektor pelancongan.


Bagi mereka yang terlepas sesi webinar dan ingin menontonnya, rakaman webinar terdapat di sini.

 

The event is finished.

Date

Aug 21 2020
Expired!

Time

10:00 am - 12:00 pm
Category

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *