Kuala Lumpur, 18 September 2024: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) sangat bimbang dengan perkembangan terkini berkaitan Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang. MoU tersebut, yang sepatutnya menetapkan syarat-syarat bagi pengagihan peruntukan pembangunan kawasan (CDF) kepada ahli parlimen pembangkang, telah menjadi alat rundingan politik yang melemahkan demokrasi Malaysia.
“Kami ingin menegaskan bahawa pengagihan CDF tidak seharusnya tertakluk kepada sebarang rundingan. Semua ahli parlimen harus menerima peruntukan yang saksama, dengan syarat mereka perlu telus dalam perbelanjaan peruntukan tersebut. Kaedah terbaik untuk menginstitusikan ini adalah melalui undang-undang, yang mana IDEAS dan Bersih telah memperjuangkannya secara tekal. Pihak pembangkang juga tidak sepatutnya menjadikan perkara ini satu isu perkauman tanpa sebab, sedangkan mereka sebenarnya boleh menggunakan peluang ini untuk menuntut agar satu Akta CDF dibentangkan, yang akan mengikat semua kerajaan pada masa hadapan dan menghentikan penggunaan CDF sebagai senjata politik,” ulas Aira Azhari, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS.
“Kami juga menggesa semua pihak untuk melihat melangkaui pengagihan CDF semata-mata dan menuntut penambahbaikan jangka panjang terhadap status quo. Pertama, Akta Pendanaan Politik mesti dibentangkan, dengan pembiayaan awam kepada parti politik sebagai salah satu tonggaknya. Kedua, perlu ada perbincangan mendalam mengenai kesinambungan mekanisme CDF semasa, dan ketiga, akhirnya mesti ada langkah untuk beralih daripada sistem semasa kepada satu sistem di mana CDF tidak lagi diagihkan kepada wakil rakyat, tetapi kepada kerajaan tempatan yang dipilih. Hal ini akan melibatkan perubahan menyeluruh dalam cara pengundi melihat wakil mereka, dan perubahan holistik dalam cara politik beroperasi. Penting untuk ahli politik kita mengutamakan reformasi institusi yang akan membantu mencegah budaya ‘sapu bersih’ yang telah melumpuhkan politik kita selama beberapa dekad agar demokrasi pelbagai parti di Malaysia benar-benar matang dan melangkaui pertelingkahan partisan” tambah Aira.
Untuk perbincangan lebih lanjut mengenai pengagihan CDF yang saksama dan cadangan jangka panjang lain, sila muat turun di sini.
— TAMAT —
Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Ryan Panicker
Penolong Pengurus, Advokasi dan Program
T: 03 – 2070 8881/8882 | E: ryannesh@ideas.org.my