Kuala Lumpur, 31 Oktober 2025: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) bimbang terhadap hasil serta proses di sebalik Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) antara Amerika Syarikat dan Malaysia yang baru sahaja dimeterai. Walaupun perjanjian ini digambarkan sebagai kerjasama antara dua negara rakan yang setara, ia sebenarnya mewajibkan hanya Malaysia membuat komitmen dasar yang substantif, sementara Amerika Syarikat mengekalkan sepenuhnya keanjalan dalam dasar perdagangannya.
Perjanjian ini menandakan satu lagi manifestasi politik kuasa pentadbiran Trump serta serangan terhadap dasar dan tadbir urus perdagangan antarabangsa yang sebelum ini dibangunkan bagi memacu pembangunan ekonomi. Ia merangkumi tarif yang kini berdepan cabaran undang-undang di Amerika Syarikat, dan tidak mengandungi peruntukan serta perlindungan tahap tinggi yang lazimnya terdapat dalam perjanjian moden antara rakan dagang yang dipercayai. Sebagai contoh, tiada mekanisme penyelesaian pertikaian disertakan, manakala satu klausa luas memberi hak kepada Amerika Syarikat untuk mengenakan langkah perlindungan perdagangan pada masa hadapan. Proses rundingan yang luar biasa pantas dan tidak telus juga menetapkan duluan yang tidak sihat, menimbulkan persoalan sama ada kesan jangka pendek dan panjangnya telah dinilai dengan sewajarnya.
ART turut menandakan penyimpangan membimbangkan daripada dasar perdagangan yang lazimnya dibentuk bagi mencapai kemakmuran ekonomi bersama. Malaysia selama ini mendapat manfaat daripada perdagangan dan pelaburan terbuka serta dasar luar berasaskan pemusatan ASEAN dan sikap berkecuali. Perjanjian ini menimbulkan persoalan besar tentang kesinambungan dasar ekonomi dan luar negara kerana ia secara jelas mengikat dasar perdagangan dan pelaburan Malaysia kepada kepentingan strategik Amerika Syarikat. Malaysia diwajibkan mengenakan sekatan setara terhadap negara ketiga yang disasarkan oleh Amerika atas alasan keselamatan negara, yang secara langsung mengancam rantaian bekalan melibatkan China. Malaysia juga perlu mengambil tindakan perlindungan terhadap perniagaan berpangkalan di Malaysia milik negara ketiga sekiranya aktiviti mereka menjejaskan daya saing perniagaan Amerika Syarikat di Malaysia atau di Amerika Syarikat sendiri.
Malaysia sememangnya memperoleh sedikit keistimewaan politik dengan pentadbiran Trump melalui pemeteraian ART ini, sekurang-kurangnya meredakan ancaman sasaran lanjutan buat sementara waktu. Walaupun perjanjian ini tidak memberikan sebarang kepastian terhadap dasar tarif masa depan, para penggubal dasar Malaysia berharap keistimewaan tersebut akan diterjemahkan kepada layanan istimewa di bawah tarif dera (punitive tariff) pada masa hadapan, khususnya dalam sektor semikonduktor.
Namun sebaliknya, perjanjian ini mengehadkan keupayaan Malaysia untuk membentuk perkongsian perdagangan yang lebih luas. Ia mengikat dasar perdagangan dan pelaburan masa hadapan kepada kepentingan strategik Amerika Syarikat, serta menjamin layanan dasar perdagangan setara bagi sektor masa hadapan seperti perkhidmatan digital. Walaupun Malaysia bukan satu-satunya negara yang mengejar perjanjian dua hala dengan Washington, langkah ini telah mengutamakan kepentingan individu berbanding kepentingan kolektif, serta mengalihkan sumber diplomatik daripada usaha memperkukuh perkongsian lebih mendalam dengan negara yang lebih sejajar dengan kepentingan pembangunan ekonomi Malaysia. Kepimpinan cemerlang Malaysia dalam ASEAN tahun ini sedikit tercalar oleh perjanjian yang mencabar pemusatan ASEAN dan menjejaskan rakan serantau yang tidak mempunyai platform atau sumber untuk berunding sendiri, atau memilih untuk tidak menandatangani perjanjian yang berat sebelah sebegini.
Satu lagi aspek membimbangkan dalam perjanjian ini ialah penjajaran mendalam dan mengikat dengan sistem pentadbiran Amerika Syarikat pada ketika institusi tersebut sedang menghadapi kerosakan yang hampir tidak dapat diperbaiki. Malaysia diwajibkan menerima kelulusan daripada US Food and Drug Administration (FDA) dan agensi berkaitan bagi produk farmaseutikal, peranti perubatan dan makanan tertentu, serta mengiktiraf US Department of Agriculture (USDA) dan pihak pensijilan swasta bagi sistem halal dan keselamatan makanan. Walaupun langkah sedemikian lazimnya dialu-alukan untuk mempercepatkan import, penutupan kerajaan Amerika Syarikat yang berterusan dan serangan pentadbiran Trump terhadap institusi kerajaan serta perundangan menimbulkan keraguan besar terhadap kebolehpercayaan mereka sebagai penjaga kepentingan kesihatan, makanan dan keagamaan rakyat Malaysia.
Menariknya, sebarang penyelarasan peraturan yang mungkin positif ini hanya berlaku disebabkan tekanan luar, bukan melalui kerjasama dengan negara rakan. Selain pengiktirafan bersama piawaian di atas, ART turut merangkumi peruntukan berkenaan amalan kawal selia yang baik, daya saing syarikat berkaitan kerajaan (GLC), hak pekerja, dan perlindungan alam sekitar yang membawa Malaysia lebih sejajar dengan amalan terbaik dunia. Terdapat sedikit harapan bahawa ART dapat menjadi duluan bagi pengamalan lebih luas dalam kalangan negara anggota ASEAN dan rakan dagang lain.
Akhirnya, walaupun peruntukan akses pasaran seperti kadar tarif mendominasi tajuk utama, Malaysia tidak mempunyai banyak sebab untuk meraikannya. Malaysia telah menghapuskan tarif terhadap import dari Amerika Syarikat, namun jumlahnya sudah sedia kecil, malah lebih banyak konsesi dibuat dalam aspek lain perjanjian. Konsesi tersebut mengekalkan tarif sebanyak 19% ke atas pelbagai barangan eksport yang sebelum ini tidak dikenakan tarif sebelum Trump menjadi presiden. Ini termasuk barangan yang kini diraikan sebagai berkadar sifar di bawah ART. Lebih membimbangkan, tiada jaminan bahawa komitmen akses pasaran ini akan kekal sebagaimana dipersetujui, jika tarif baharu terhadap semikonduktor dikenakan kepada Malaysia pada masa hadapan, semua keuntungan yang dijangka daripada ART akan terhapus.
“Pada dasarnya, perjanjian ini tidak melalui proses pertanggungjawaban awam, menjejaskan kepentingan ekonomi serantau dan dunia Malaysia, serta mengikat dasar ekonomi negara kepada kepentingan strategik Amerika Syarikat sambil mengesahkan tarif 19% ke atas kebanyakan eksport Malaysia,” kata Dr Stewart Nixon, Timbalan Pengarah Penyelidikan IDEAS.
— TAMAT —
Muat Turun Fail PDF Kenyataan Media Di Sini
Untuk pertanyaan, sila hubungi:
Ryan Panicker
Penolong Pengurus, Advokasi dan Program
T: 03 – 2070 8881/8882 | E: ryannesh@ideas.org.my