Publications > Opinion

Palestin: Bebaskan perdagangan untuk mencapai keamanan

Tun Mahathir memberikan dua ucapan penting di kota London minggu ini. Pada 1 April beliau berucap di Royal Commonwealth Society mengenai agenda alternatif kumpulan G20. Tetapi tujuan utama beliau datang ke kota London ialah untuk menyampaikan ucap utama dalam satu persidangan mengenai Gaza yang dianjurkan oleh Yayasan Kuala Lumpur pada 31 Mac. Tun Mahathir merupakan pengasas dan pengerusi Yayasan Kuala Lumpur.

Sepanjang dua minggu lepas saya cuba membantu Yayasan Kuala Lumpur sekadar yang termampu, terutamanya dalam mengatur beberapa pertemuan dengan orang kenamaan di sini serta menganjurkan majlis di Royal Commonwealth Society.

Komitmen Tun Mahathir terhadap rakyat Palestin, sehingga beliau sanggup mengusahakan satu persidangan di kota London, amat menarik perhatian saya. Telah berpuluh tahun usaha diplomatik mendamaikan Israel dan Palestin gagal. Genjatan senjata hanya terlaksana sekerat jalan. Dan konflik ini berterusan walaupun ratusan juta ringgit telah disalurkan kepada saudara-saudara kita di sana.

Jangan kita sangka semua warga Israel sama sahaja. Contohnya rakan saya Daniel Durn yang mengepalai sebuah kumpulan pemikir di Jerusalem banyak menulis mengenai cara-cara untuk mencapai keamanan. Menurut beliau, komitmen terhadap keamanan hanya akan wujud jika ada insentif yang jelas, terutamanya insentif dalam bentuk pembangunan ekonomi.

Kepayahan hidup rakyat Palestin sebahagiannya merupakan akibat daripada pelbagai bentuk sekatan yang diwujudkan oleh Israel. Tembok yang dibina di sekeliling Gaza menyekat pergerakan keluar masuk. Rakyat Gaza juga tidak mempunyai prospek pekerjaan yang bagus. Malahan, untuk berniaga pun sukar. Jika sekalipun rakyat Gaza boleh menghasilkan barangan atau perkhidmatan yang sesuai untuk diperniagakan, mereka hanya boleh menjualnya sesama mereka sahaja. Tetapi penduduk Gaza ramai yang tidak mampu untuk membeli barangan yang dijual kerana sumber pendapatan mereka tidak stabil. Kesukaran untuk berdagang menyebabkan Gaza terus dibelenggu kemiskinan.

Suasana ini berbeza dengan apa yang berlaku pada peringkat permulaan Israel menakluk Tebing Barat dan Gaza pada tahun 1967. Pada waktu itu General Moshe Dayan tidak menghalang warga Israel dan Palestin berurusniaga. Dasar-dasar pentadbiran General Dayan membolehkan berlakunya aliran keluar masuk barangan dan juga tenaga pekerja. Ratusan ribu rakyat Palestin pada masa itu bekerja di kawasan yang dijajah Israel dan mereka mendapat gaji yang jauh lebih tinggi berbanding pekerjaan di wilayah Jordan atau Mesir. Bangsa Arab mempunyai kebebasan untuk bergerak dalam Israel, dan taraf kehidupan mereka meningkat empat kali ganda. Warga Israel juga membeli belah di kawasan Arab Palestin, lantas menyumbang secara terus kepada pembangunan ekonomi Palestin. Tetapi sekatan yang diwujudkan oleh ahli politik Israel dan juga tindakan sesetengah pihak di Palestin kini menghalang semua ini daripada berterusan.

Daniel Durn pernah menulis bahawa sebarang dasar yang memisahkan antara Israel dan Palestin hanya akan lebih memburukkan keadaan. Kedua-dua negara ini terlalu kecil untuk berfungsi sebagai dua ekonomi yang berbeza. Hakikatnya nasib warga Palestin dan Israel adalah saling bergantungan.

Jerusalem sering dijadikan contoh betapa iklim ekonomi yang saling bergantungan akan membawa kemanan antara dua kumpulan yang berbeza. Bangsa Yahudi dan Arab boleh hidup bersama di Jerusalem dalam suasana yang lebih aman berbanding tempat lain di rantau itu. Warga Palestin dan Israel di Jerusalem saling berinteraksi dalam urusan ekonomi, terutama dalam sektor perlancongan yang agak pesat di sana. Mereka berjual beli dan saling memerlukan antara satu sama lain. Peluang untuk berdagang dengan bebas membawa kepada suasana hidup yang lebih aman.

Pembaikan kualiti hidup dan taraf ekonomi perlu dijadikan langkah pertama dalam mencari keamanan di Palestin. Untuk itu, usaha global perlu digerakkan ke arah penghapusan sebarang bentuk halangan dan sekatan perdagangan antara Palestin dan Israel. Rakyat Palestin perlu dibolehkan berkerja di Israel, dan rakyat Israel pula mesti boleh membeli barangan di Palestin. Saling kebergantungan dalam urusan jual beli boleh menjadi pemangkin keamanan.

Sempena sidang kemuncak G20 di London pada hari Rabu, 2 April, Malaysia Think Tank bersama-sama serangkaian kumpulan pemikir seluruh dunia melancarkan satu kenyataan bersama dalam satu majlis tidak jauh daripada lokasi sidang G20. Kami menegaskan bahawa kebebasan untuk berdagang dan berurusniaga merupakan asas utama dalam pembentukan dunia yang aman sejahtera. Kami menggesa agar para pemimpin G20 tidak mewujudkan sekatan-sekatan perdagangan yang baru.

Dua ratus lima puluh tahun lalu, seorang ahli falsafah Perancis Montesquieu berhujah bahawa “Secara semula jadi perdagangan akan menghasilkan keamanan. Melalui perdagangan dua negara yang berbeza pandangan akan menjadi saling bergantung antara satu sama lain kerana satu negara mahu membeli dan satu lagi mahu menjual. Maka kesatuan dapat diwujudkan kerana mereka saling memerlukan.”

Pandangan Montesquieu ini memang benar. Antara tahun 1929 dan 1932 kadar perdagangan antarabangsa merudum sebanyak 70 peratus hasil tindakan Amerika Syarikat yang menyekat aliran perdagangan bebas, dan tindakbalas negara-negara lain terhadap tindakan itu. Pakar ekonomi Martin Wolf mengatakan “keruntuhan kadar perdagangan antarabangsa ini menyemarakkan lagi pergerakan ke arah autarki dan Lebensraum (iaitu fahaman yang mendorong rejim Nazi Jerman menyerang negara-negara lain), terutama di Jerman dan Jepun.” Perang Dunia II menyusul tidak lama selepas itu.

Telah sekian lama usaha diplomatik untuk menyelesaikan konflik Palestin-Israel tidak berjaya. Kini telah tiba masanya untuk kita mencuba satu strategi baru yang berteraskan kebebasan berdagang antara warga Palestin dan Israel. Tun Mahathir telah mengorak langkah untuk mengantarabangsakan usaha Malaysia untuk membawa keamanan ke Palestin. Pertubuhan-pertubuhan daripada Malaysia yang mahu membantu mewujudkan kemanan di sana boleh mendahului dunia jika kita meneroka, mengkaji dan memperjuangkan strategi alternatif ini.

2017-06-07T07:25:02+00:00 1st April 2009|Opinion|Comments Off on Palestin: Bebaskan perdagangan untuk mencapai keamanan