Berita Harian Online 7 Oktober 2015

KUALA LUMPUR: Rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dimuktamadkan di Atlanta, Amerika Syarikat (AS) semalam adalah satu pencapaian bersejarah, menurut Institut Demokrasi dan Hubungan Ekonomi (IDEAS).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Saiful Wan Jan, berkata ini berdasarkan saiz ekonomi yang terbabit dan langkah-langkah perdagangan yang akan dilaksanakan di bawah TPPA.

“Saya berharap teks penuh disediakan untuk penelitian awam, berikutan mereka kini perlu dibabitkan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Saiful turut menggesa kerajaan membentangkan teks TPPA pada persidangan Parlimen akan datang supaya ahli-ahli Parlimen dapat membuat keputusan.

“Paling penting, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu memutuskan apa yang terbaik untuk negara dalam jangka masa panjang dan bukan apa yang popular dari segi politik untuk tempoh jangka pendek.

“Beliau kemudian perlu menerajui kempen untuk melaksanakan perkara yang betul,” katanya.

Susulan TPPA dimuktamadkan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam kenyataan berkata kebimbangan Malaysia dalam rundingan itu dipertimbangkan oleh semua pihak dan penyertaan negara dalam TPPA akan diputuskan secara kolektif.

Antara kebimbangan Malaysia ialah dalam bidang pemerolehan kerajaan, perusahaan milik negara dan isu-isu Bumiputera.

Sementara itu, penyedia logistik global dan penyokong utama perdagangan global berpangkalan di AS, United Parcel Service Inc (UPS), memuji langkah 12 negara yang merundingkan TPPA berhubung kejayaan memuktamadkan perjanjian itu.

Presiden UPS Asia Pasifik, Nando Cesarone, berkata TPPA penting kepada ekonomi AS, menyokong pertumbuhan global dan mewujudkan peluang pekerjaan.

“TPPA menangani banyak kerumitan sekitar pemeriksaan rentas sempadan yang kita harap akan meningkatkan keyakinan dan membolehkan lebih banyak perniagaan kecil mengambil bahagian dalam perdagangan,” katanya.

Pengarah Urusan UPS Malaysia, Lim Tze Hsien, berkata TPPA akan membantu Malaysia meningkatkan perdagangan dan pelaburan dengan rakan dagang utamanya seperti AS, Jepun dan Singapura, dan mendapat akses yang lebih baik ke pasaran di Mexico, Chile dan Peru.

“TPPA akan meningkatkan eksport dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang akan memberi banyak manfaat kepada ekonomi dan produktiviti negara,” katanya.

Negara-negara yang merundingkan TPPA mewakili hampir 40 peratus daripada keluaran dalam negara kasar global dari Amerika ke Asia.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/86964

Leave a comment