First published in malaysiakini.com

Pengulas politik Wan Saiful Wan Jan tidak percaya bahawa pemimpin dalam Umno akan memburukkan lagi hubungan kerja mereka sebelum pilihan raya umum akan datang.

Pemerhatian beliau itu dibuat sebagai respons kepada dakwaan pembangkang bahawa kes rasuah yang melibatkan hal-hal tanah di Johor boleh menjadi pelopor (pencetus/penyumbang) kepada ‘perang dalaman’ dalam parti pemerintah itu.

Sambil menegaskan bahawa Exco kerajaan negeri Datuk Abd Latif Bandi – yang anaknya telah ditahan berkaitan dengan kes itu – rapat dengan Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin, ADUN PKR, Jimmy Puah mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mungkin menggunakan kes itu untuk melakar langkah terhadap Khaled .

Pembangkang percaya Khaled dan Najib tidak pada halaman yang sama sejak menteri besar itu dilihat seolah-olah seperti tidak menyokong perdana menteri dalam kes 1MDB.

Bagaimanapun, Wan Saiful tidak fikir Najib dan Khaled mahu keadaan itu menjadi tidak terkawal.

“Saya tidak akan memanggilnya sebagai perang. Lagipun, Khaled diletakkan di tempat itu oleh Najib,” kata Wan Saiful, Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), kepada Malaysiakini.

“Walau apa pun, kita harus ingat bahawa Najib boleh menentukan mengenai siapa jadi menteri besar mana-mana negeri, dan beliau boleh membuat pelantikan itu selepas pilihan raya umum.

“Jadi tidak ada keperluan untuk berperang sebelum (itu),” katanya.

Satu lagi yang menarik perhatian Wan Saiful ialah poster Khaled boleh dilihat di seluruh Johor.

“Malah menteri besar juga mempunyai penjenamaan dan slogan sendiri, ‘Muafakat’, seolah-olah melakar imej tersendiri yang berasingan daripada perdana menteri.

“Jadi saya tidak akan terkejut jika kedua-dua mereka mempunyai strategi yang berbeza ketika mereka bersiap siaga untuk pilihan raya umum ke-14.

“Lagipun, Johor mungkin menghadapi cabaran sebenar dari pasukan (presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia) Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang disokong oleh Parti Amanah Negara.

‘Khaled mesti jawab pada rakyat’

Sementara itu, Profesor Ahmad Atory Hussain dari Universiti Sains Malaysia berkata, Khaled juga turut tercalit dalam kes itu, walaupun secara tidak langsung, kerana kedudukan beliau sebagai menteri besar Johor.

“Apabila isu ini timbul, rakyat ingin tahu apakah peranan menteri besar dalam hal ini,” katanya.

Atory juga menegaskan bahawa tiada sebarang maklum balas dari menteri besar berhubung perkara itu. Khaled, katanya, juga perlu menjelaskan perkara itu kepada Najib kerana isu itu mempunyai implikasi politik.

“Jika isu ini tidak diselesaikan, maka sokongan rakyat kepada Umno boleh terjejas. Najib mempunyai hak untuk bertanya kepada menteri besar Johor tentang perkara ini, kerana walaupun jika Najib tidak campur tangan, rakyat akan bertanya.”

Sekiranya isu ini berlarutan, Atory percaya bia boleh dieksploitasi oleh pembangkang.

“Jika ia memberi kesan kepada sokongan untuk Umno, maka parti itu mesti mengetepikan Khaled atau melakukan sesuatu mengenainya,” katanya.

Sebelum 2013, Khaled merupakan sebahagian daripada kabinet persekutuan Najib di Putrajaya.

Beliau telah menjalinkan hubungan rapat dengan sultan Johor sejak menjadi menteri besar, dan telah beberapa kali mendapat pujian daripada baginda sultan.

Apabila Muhyiddin dipecat sebagai timbalan perdana menteri, Khaled menggesa Umno untuk bersuara menentang rasuah, yang dilihat sebagai serangan berlapik terhadap kontroversi berkaitan 1MDB.

Bagaimanapun, beliau kelihatan telah memutuskan hubungan dengan Muhyiddin selepas dipecat daripada Umno.

Minggu lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas 21 kereta mewah, lima buah motosikal berkuasa tinggi dan wang tunai RM500,000 yang dipercayai ada kaitan dengan skandal rasuah tanah itu.

Selain anak Abd Latif dan pegawai khas, seorang peguam dan dua pemaju hartanah juga turut ditahan berkaitan dengan perkara itu.

Leave a comment