First published in freemalaysiatoday.com

Kesan domestik kunjungan Raja Salman ke rantau ini lebih menonjolkan dasar Arab Saudi kini yang mahu memperkasakan pengaruhnya.

PETALING JAYA: Kunjungan Raja Arab Saudi ke Malaysia baru-baru ini merupakan sebahagian usaha kuasa Timur Tengah itu memperkasakan pengaruhnya di rantau Asia Tenggara, menurut penganalisis.

Lawatan Raja Salman Abdulaziz Al Saud, pemerintah tertinggi Arab Saudi yang merupakan tumpuan umat Islam sedunia mengerjakan ibadat haji dan umrah, diberikan sambutan meriah oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Ia juga menyaksikan pelbagai perjanjian kerjasama ekonomi 2 hala dimeterai antara Riyadh dan Putrajaya, bernilai berbilion dolar.

Lawatan itu merupakan kali ketiga seorang raja Arab Saudi ke negara ini.

Bagaimanapun, rombongan tertinggi Saudi kali ini berlaku di sebalik perkembangan politik tempatan yang semakin menyerlahkan peranan Islam dalam pentadbiran.

Ia juga di sebalik dakwaan Arab Saudi, yang dilihat kerap mengeksport pengaruh dan versi Islamnya yang tegas, semakin mempunyai pengaruh ke atas politik negara, susulan pengakuan Najib menerima derma RM2.6 bilion daripada kerabat diraja Saudi bagi membantu kempen pilihan raya Barisan Nasional (BN) pada 2013.

Timbul persoalan, sejauh mana kesan domestik yang boleh dirasai pentadbiran Najib susulan kemesraan yang ditunjukkan bersama pemerintah Saudi.

Pemerhati veteran politik Malaysia, Profesor Bridget Welsh berkata lawatan itu mengukuhkan pandangan yang Najib masih perlu menggunakan pihak luar untuk kepentingan agama dan hubungan luar.
Bagaimanapun, Welsh tidak merasakan kesan mendalam daripada lawatan itu.

“Kesan domestik lawatan itu bagaimanapun terbatas, sebaliknya ia mengukuhkan pandangan Najib perlu bergantung kepada pihak lain,” kata Welsh, penyelidik kanan di Pusat Kajian Demokrasi Asia Timur di Universiti Kebangsaan Taiwan.

Welsh berkata tumpuan Saudi kini terhadap rantau ini dengan penduduk Islam yang ramai, merupakan petanda ia mula beralih daripada sekutu kuatnya Amerika Syarikat, yang kini di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump.

“Sebab itulah ia menyebarkan sayap ke Asia. Saudi mahu mempromosikan kuasanya, di samping ideologi agama yang konservatif dan kepentingan perniagaan,” katanya.

Menurutnya, strategi Saudi kini lebih bersifat terbuka berbanding masa lampau.

“Arab Saudi membeli sokongan daripada negara Islam lain.”

‘Layanan baik perlu’

Sebaliknya, badan pemikir Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (Ideas) pula melihat kunjungan Salman itu memberi manfaat buat kedua-dua negara.

Ketua Eksekutif Ideas Wan Saiful Wan Jan berkata lawatan itu tidak harus dipolitikkan.

“Realitinya, ia hanyalah lawatan pemimpin sebuah negara yang mempunyai hubungan baik dengan negara kita. Ia tidak membuktikan apa-apa.

“Hubungan bilateral dengan mana-mana negara adalah bagus. Saya fikir, ia perkara yang baik apabila kita mampu beri layanan baik kepada delegasi Arab Saudi,” katanya kepada FMT.

Wan Saiful turut mengalu-alukan pelaburan dan inisiatif ekonomi diumumkan sewaktu kunjungan Salman.
Najib sebelum ini menyenaraikan 4 manfaat utama hasil kunjungan Salman.

Ia termasuk peruntukan biasiswa yang bertambah daripada kerajaan Saudi kepada penuntut Malaysia, di samping penambahan kuota haji.

 

Leave a comment