KUALA LUMPUR, 9 Julai 2016 — Pihak SPRM telah membuat pengumuman bahawa Tan Sri Abu Kassim Mohamed akan menamatkan perkhidmatan beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 1 Ogos 2016.

Mengulas hal ini, Ketua Eksekutif IDEAS Wan Saiful Wan Jan berkata “Saya berharap agar pengganti Tan Sri Abu Kassim ialah seorang yang datang daripada keluarga SPRM itu sendiri. Ini penting kerana SPRM telah menjalani satu proses transformasi yang agak ketara di bawah kepimpinan Tan Sri Abu Kassim. Terdapat beberapa kes berprofil tinggi yang telah dibawa ke mahkamah dan SPRM juga telah menjalin hubungan baik dengan pelbagai badan bukan kerajaan. Malahan SPRM juga dilihat mesra rakyat hasil usaha mereka untuk berinteraksi dengan masyarakat. Semua ini membantu mempertingkatkan tahap kepercayaan kepada SPRM itu sendiri. Agenda ini mesti diteruskan dan cara terbaik untuk memastikan kesinambungan kerja ialah dengan cara melantik individu yang datang dari dalam acuan SPRM sendiri sebagai Ketua Pesuruhjaya Baru.”

Wan Saiful menambah: “Saya bimbang jika orang luar dilantik, budaya kerjanya mungkin berbeza dengan budaya SPRM yang telah dibentuk sejak sekian lama. Ini boleh membantutkan proses transformasi SPRM yang sedang berjalan. Sekarang ini heboh dikatakan bahawa Dato Dzulkifli Ahmad daripada Jabatan Peguam Negara atau Tan Sri Noor Rashid Ibrahim daripada PDRM. Kedua-dua mereka memang berpengalaman tetapi dengan suasana politik sekarang, perlantikan orang luar hanya akan menjejaskan reputasi SPRM itu sendiri. Kita perlu berfikir jangka panjang dan kita tak mahu usaha gigih kerajaan dalam memerangi rasuah dicalarkan dengan satu perlantikan yang menyebabkan integriti SPRM dipertikaikan.”

Mengulas mengenai calon yang paling layak, Wan Saiful berkata: “Oleh kerana orang nombor satu dan nombor dua SPRM akan bersara, maka calon dalaman yang paling sesuai ialah Dato’ Sri Mustafar Ali, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) yang merupakan pegawai ketiga tertinggi sekarang. Bagaimanapun, saya rasa jika mana-mana pegawai tinggi SPRM sekarang mengambil alih sekalipun, peluang berlakunya kesinambungan transformasi SPRM pasti lebih tinggi berbanding jika orang luar dipayungterjunkan ke dalam organisasi tersebut.”

“Cabaran utama yang akan dipikul oleh pengganti Tan Sri Abu Kassim ialah memastikan SPRM terus dipercayai masyarakat. Kita melihat sekarang betapa SPRM menyiasat semua kes tanpa pilih kasih. Baik Perdana Menteri mahupun Ketua Menteri, semua disiasat sepenuhnya. Ini satu rekod baik dan saya harap ia akan dikekalkan. Dan usaha-usaha yang digariskan oleh kerajaan dalam NKRA Memerangi Rasuah juga perlu dilipatgandakan,” tambah Wan Saiful lagi.

TAMAT

Leave a comment