KENYATAAN MEDIA
Untuk Siaran Segera

Kesatuan tidak bermaksud bersatu dalam satu parti

Georgetown, 3 Mac 2016 – YAM Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz, Presiden Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), telah menyampaikan ucaptama dalam Forum Pra Kongres Majlis Permuafakatan Melayu Malaysia di Georgetown, Pulau Pinang, anjuran Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) pada 1 Mac 2016.

Majlis turut disertai oleh TYT Tun Dato’ Seri Utama (Dr) Haji Abdul Rahman Bin Haji Abbas, Yang Di Pertua Negeri Pulau Pinang.

Dalam ucapannya, YAM Tunku ‘Abidin menolak dakwaan seetengah pihak bahawa perpaduan hanya boleh dicapai sekiranya parti-parti politik bersatu. Sebaliknya YAM Tunku Abidin menegaskan bahawa persaingan politik adalah satu perkara sihat selagi mana semua parti menghormati perlembagaan dan institusi-institusi penting dalam negara.

Menurut YAM Tunku ‘Abidin:

“.. apabila kita berbicara mengenai perpaduan pada hari ini, kita terus terfikir mengenai perpaduan politik. Seolah-olah perpaduan hanya akan tercapai jika kita mengundi satu parti yang sama, atau menyokong seorang tokoh politik sahaja…Tetapi hakikatnya persaingan dan perbezaan politik bukan bermaksud perpecahan.”

“Hakikatnya persaingan dan perbezaan politik bukan bermaksud perpecahan. Lihat sahaja di negara seperti Jepun, Indonesia, Mongolia atau Tunisia. Rakyat yang sebangsa boleh sahaja bersaing dalam arena politik. Di sana, politik tidak didominasi oleh isu kaum dan agama. Tetapi mereka berdebat mengenai dasar-dasar awam seperti pendidikan, kesihatan, pengangkutan dan ekonomi, bagaimana perkhidmatan boleh disediakan.”

“Dalam negara demokrasi sebenar, perbezaan pandangan dan perbezaan sikap mengenai bagaimana untuk mentadbir negara adalah biasa. Tetapi mereka tidak lah pula sampai berbunuh-bunuhan. Mereka mengiktiraf perlembagaan dan di sana wujud kestabilan politik. Dan mereka bersatu dibelakang simbol-simbol yang tiada kena-mengena dengan politik seperti Maharaja, lagu kebangsaan, bendera, dan adat resam. Di Malaysia, kita mewarisi institusi Raja, Yang di-Pertua Negeri, dan Yang di-Pertuan Agong yang turut boleh menjadi fokus penyatuan di peringkat negeri dan negara, baik bagi orang Melayu mahupun bukan Melayu.”

“Tetapi ada sesetengah ahli politik yang tidak menghiraukan elemen perlembagaan ini. Mereka mendakwa bahawa hanya parti politik mereka sahajalah yang boleh menyatukan rakyat. Dan mereka menjadikan dakwaan itu sebagai agenda utama, sehingga pencurian, rasuah dan penyelewengan pun mahu disembunyikan.”

“Jika kita mahu menjadikan demokrasi di Malaysia ini selaras dengan apa yang diimpikan semasa Merdeka, maka kita wajib keluar daripada mentaliti kepartian itu dan menerima bahawa persaingan politik adalah satu perkara yang sihat.”

Kongres Permuafakatan Melayu Malaysia dianjurkan sempena ulang tahun yang ke-70 Kongres Pertama Pertubuhan-Pertubuhan Melayu yang berlangsung di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pada 1 hingga 3 Mac 1946 yang telah di pelopori oleh Allahyarham Dato’ Onn bin Jaafar. Kongres pertama pada tahun 1946 telah memberi kesedaran kebangkitan untuk peyatuan dan perpaduan Melayu dengan merentasi sempadan dan telah melahirkan wadah perjuangan bangsa Melayu iaitu PEKEMBAR(UMNO).

Sempena itu, YAM Tunku ‘Abidin dalam ucapan beliau turut memetik kata-kata Allahyarham Dato’ Onn bahawa: “Sungguhpun ada di antara kita yang berlain-lainan fikiran dan faham serta berlain-lainan taraf dan kedudukan kita tetapi hakikat tujuan dan maksud kita hanya satu jua; iaitu kita hendak meninggikan dan memlihara maruah serta kesopanan bangsa kita.”

Seterusnya YAM Tunku Abidin juga meperingatkan jemputan bahawa “Mungkin kisah Dato’ Sir Onn Ja’afar boleh menjadi teladan. Hari ini kita memperingati kongres yang beliau anjurkan untuk melawan Malayan Union. Matlamat itu berjaya dicapai dan seterusnya lahirnya sebuah parti politik yang amat berjasa kepada kita. Tetapi kita mesti juga ingat bahawa Dato’ Onn menubuhkan dua lagi parti politik selepas itu.”

Teks penuh ucapan YAM Tunku ‘Abidin disertakan bersama kenyataan ini. Sila klik di sini untuk muat turun.

TAMAT

Untuk pertanyaan media: T: +603 6201 8896/ 8897 E: wansaiful@ideas.org.my

About IDEAS
IDEAS is Malaysia’s first think-tank dedicated to promoting market-based solutions to public policy challenges. We are an independent not-for-profit organisation. As a cross-partisan think tank, we work across the political spectrum. Our purpose is to advance market-based principles, and we are not bound by party politics, race or religion. Our mission is to improve the level of understanding and acceptance of public policies based on the principles of rule of law, limited government, free markets and free individuals. For more information, please visit http://ideas.org.my/

Leave a comment