KUALA LUMPUR, 21 Jun 2016 — Asia mengalami perkembangan pesat sejak 65 tahun lalu walupun rantau tersebut mempunyai sejarah panjang ditekan oleh pemerintah, demikian menurut kertas kajian baru terbitan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS).

Dalam kertas dasar terbitan IDEAS bertajuk “Kebebasan Ekonomi di Asia”, Dr. Razeen Sally menunjukkan kejayaan harimau-harimau Asia yang kini diikuti China, Vietnam dan India. Negara-negara Asia ini telah mengalami perkembangan pesat dan pengeluaran meningkat 7.5 kali ganda antara 1990 dan 2009. Bahkan, Bank Dunia juga menganggarkan lebih satu bilion orang telah keluar daripada belenggu kemiskinan antara tahun 1990 dan 2011. Semua ini berlaku kerana dasar-dasar pembukaan ekonomi yang diperkenalkan oleh negara-negara Asia.

Walau bagaimana pun, kebebasan ekonomi di Asia masih jauh ketinggalan berbanding negara-negara maju lain disebabkan faktor kawalan ketat oleh pemerintah dalam bidang ekonomi, dasar perlindungan industri dan birokrasi yang keterlaluan.

Mengulas mengenai keadaan tersebut, Ketua Eksekutif IDEAS, Wan Saiful Wan Jan berkata, “Meskipun kebebasan ekonomi Asia semakin berkembang, ia masih kekal terlalu banyak dikongkong oleh pemerintah. Hal ini telah menyebabkan rantau Asia masih dihuni lebih separuh jumlah penduduk termiskin dunia, termasuk tiga perempat mereka di Asia Selatan.”

Mengulas mengenai sikap pragmatik pembuat dasar di beberapa negara Asia, Dr Razeen Sally berkata, “Ada pemimpin yang telah mengubah arah apabila dasar-dasar lapuk yang mereka amalkan terbukti gagal, apabila ekonomi mereka tersekat, atau apabila negara mereka menghampiri krisis atau malapetaka. Meskipun sikap pragmatik oleh kebanyakan pembuat dasar telah mengembangkan sistem pasaran danmelonjakka pembangunan ekonomi di Asia, ia masih belum memadai kerana masih banyak lagi sekatan dan kekangan ekonomi yang perlu dihapuskan untuk memastikan kita terus maju ke hadapan.”

Sebagai kesimpulan, Wan Saiful menyebut, “Idea pembukaan pasaran dan liberalisasi ekonomi mempunyai potensi untuk memacu masa hadapan Asia. Wacana ekonomi pasaran bebas perlu diperkasakan lagi”.

TAMAT


Untuk pertanyaan media: T: +603 6201 8896/ 8897 E: wansaiful@ideas.org.my

IDEAS ialah badan pemikir pertama di Malaysia yang khususnya mempromosikan penyelesaian berasaskan pasaran untuk cabaran dasar awam. Kami adalah sebuah organisasi yang bebas dan tidak bermotifkan keuntungan. Sebagai sebuah badan pemikir rentas politik, kerja kami merentasi spektrum politik. Tujuan kami adalah untuk memperjuangkan prinsip pasaran bebas, dan kami tidak terikat dari segi politik, agama, atau bangsa. Misi kami adalah untuk meningkatkan pemahaman dan penerimaan dasar awam berasaskan prinsip kedaulatan undang-udang, pemerintah terhad, pasaran bebas, dan individu merdeka. Untuk maklumat yang lanjut, sila layari www.ideas.org.my.

Leave a comment