Kuala Lumpur, 5 Disember 2016 – Pelbagai pihak mengkritik tindakan yang diambil oleh pihak polis dalam menangani aktivis-aktivis di Malaysia termasuklah penahanan Maria Chin AbdullahDato Seri Jamal Yunos dan kumpulan Orang Asli di Kelantan turut menyumbang kepada pelbagai persoalan yang ditimbulkan.

Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) hari ini mengeluarkan satu kertas kajian bertajuk ‘Memperkukuhkan Polis DiRaja Malaysia Melalui Peningkatan Ketelusan’. Kertas ini membincangkan kerangka rang undang-undang sedia ada yang memberikan kuasa dan tanggungjawab yang terlalu banyak kepada KKPN, lantas melahirkan pemusatan kuasa yang terlalu besar.  Keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada wujudnya mekanisma semak dan imbang (check and balance) kepada peranan tersebut.

Kertas kajian IDEAS ini mengemukakan cadangan bagi meningkatkan keyakinan awam terhadap institusi polis, terutamanya terhadap institusi Ketua Polis Negara, melalui devolusi kuasa dan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Mengulas mengenai isu ini, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS Wan Saiful Wan Jan berkata, “Devolusi kuasa, atau amalan mengagihkan kuasa dan tanggungjawab kepada bahagian-bahagian dan pegawai-pegawai lain dalam pentadbiran sesuatu institusi adalah perkara biasa dalam negara maju seperti di United Kingdom, Australia dan Hong Kong. Pengagihan kuasa akan memberikan tahap keyakinan orang ramai yang lebih tinggi kerana kuasa mutlak pasukan polis tidak tertumpu dan berpusat kepada seorang individu sahaja.”

“Selain daripada menyelia 153,122 anggota polis, bidang kuasa KPN merangkumi semua aspek pentadbiran polis dari penguatkuasaan trafik hinggalah usaha memerangi terorisme.  Ini tanggugjawab yang bukan sahaja besar tetapi juga amat luas.  Sebab itulah kita memerlukan mekanisme yang teratur untuk memastikan wujud mekanisme semak imbang dalam PDRM.”

“Kita tidak dapat menafikan memang wujud kegusaran di kalangan rakyat.  Contohnya baru-baru ini penyokong baju merah memarahi polis kerana dituduh tidak mengambil tindakan tegas terhadap baju kuning, dan baju kuning juga menyuarakan kritikan yang sama.  Maka kita wajar memberi perhatian terhadap suara rakyat ini,” kata Wan Saiful.

“Dalam kertas cadangan ini, kami memberikan sokongan penuh kepada cadangan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) seperti yang dicadangkan oleh Mantan Ketua Hakim Negara,Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah,pada tahun 2005. Suruhanjaya ini adalah penting bagi memperkasakan dan meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan integriti institusi negara terutamanya, institusi polis.  Dan sebagai langkah penambahbaikan, kami juga merasakan bahawa perlu dilakukan devolusi kuasa atau penyahpusatan kuasa demi memastikan individu yang memegang jawatan KPN tidak menjadi terlalu berkuasa dalam tugasnya.”

Kertas kajian dilampirkan dan boleh dimuatturun dari laman IDEAS: www.ideas.org.my

.
 
 
– TAMAT  

\

 

Leave a comment