By Anisah Shukry, first published in The Malaysian Insider on 11 February 2016.

Pelantikan terkini Tan Sri Annuar Musa, 59, sebagai ketua penerangan Umno dan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, 65, menjadi menteri besar Kedah, membangkitkan keraguan sama ada parti tertua dalam negara itu benar-benar komited diremajakan atau tidak.

Dua penyokong setia parti itu mengambil alih tugas daripada penyandang lebih muda iaitu masing-masing Datuk Ahmad Maslan, 49, dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, 51.

Keputusan Umno untuk menggantikan Ahmad dan Mukhriz kepada pemimpin lebih tua menunjukkan politik dalaman perlu perubahan untuk memastikan ia kekal relevan di kalangan generasi muda.

Dalam parti di mana ketua Pemuda sendiri berumur 40 tahun dan mula kelihatan berjanggut putih, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak berulang kali menekankan keperluan meremajakan parti itu dan menarik golongan muda.
“Umno dan Najib bercakap mengenainya (peremajaan) sudah lama, tetapi mereka kekurangan keazaman politik untuk melaksanakannya,” kata Profesor Dr Arnold Puyok, pensyarah sains politik di Universiti Malaysia Sarawak.

“Saya tidak fikir Najib mengabaikan sepenuhnya idea peremajaan Umno. Beliau hanya berhati-hati kerana dalam melakukannya, beliau bertembung dengan orang lama.”

Malah, sejak 2014, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata pemimpin lama parti itu tidak gembira dengan seruan peremajaan Najib kerana mereka percaya ia akan menimbulkan persaingan dengan rakan sejawat lebih muda.

Beliau ada berkata “cadangan mulia” yang boleh membantu Umno memenangi pilihan raya itu, sebaliknya akan jadi “bom masa”.

Tetapi, Puyok berkata jika Umno mahu menang pilihan raya, meremajakan parti perlu jadi keutamaan, serta-merta.

“Masa tidak menyebelahi Najib. Beliau perlu segera memulihkan semula Umno dan dapatkan golongan muda untuk tarik lebih ramai pengundi muda.”

Dan di sebalik skandal yang parti lalui – daripada isu derma RM2.6 bilion Najib, 1Malaysia Development Bhd (1MDB), dan penyingkiran pemimpin penting, Puyok berkata beliau percaya ia masih memungkinkan Umno memenangi pengundi muda.

“Ya, mereka masih boleh buat dengan syarat mereka ada keazaman politik. Umno perlu tangani tanggapan umum yang ia parti tua ketandusan idea dan pemimpin progresif.”

Katanya, Umno masih boleh melakukannya kerana ia mempunyai banyak cawangan di seluruh negara dan pelbagai sumber.

“Umno patut kemukakan bakat muda untuk bercakap mengenai dasar negara, dengan lebih kerap.

“Ada ramai orang hendak menyertai Umno dan Barisan Nasional tetapi mereka tidak diberikan landasan sewajarnya untuk bersinar.”

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal ehwal Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan juga percaya Umno masih boleh memenangi pengundi muda, tetapi hanya jika ia menyalahgunakan sumber kerajaan.

“Umno ada banyak akses kepada sumber yang boleh jadi kelebihan kepada mereka sebagai kerajaan. Jika mereka mula memberi dan subsidi, saya bimbang ramai generasi muda akan dapat dibeli.

“Saya fikir, ya Umno mungkin menarik pengundi muda jika mereka terus menyalahgunakan sumber kerajaan. Jadi, ia bukan mustahil. Tetapi ia akan jadi salah guna kuasa,” katanya.

Tetapi, katanya, Umno perlu berdepan dengan tamparan hebat daripada segi tanggapan umum, kerana ramai yang melihat parti itu “dikuasai sepenuhnya” presiden.

Sementara generasi muda melihat pemimpin muda seperti Khairy, sebarang kebaikan dibuat generasinya dibayangi dengan tindakan pemimpin tua di atas, kata Wan Saiful, memetik skandal derma sebagai contoh.

“Ramai belia boleh lihat permainan dimainkan kepimpinan tertinggi kerana mereka hanya mahu menyelamatkan diri sendiri.

“Ia akan menolak sesetengah orang daripada Umno, tetapi bukan semua orang. Akan ada mereka yang berfikir untuk menyelamatkan Umno, mereka perlu kekal dalam Umno dan tunggu perubahan.”

Katanya, beliau berharap pengundi muda tidak terpengaruh dengan agenda Umno dan menyertai parti itu.

Langkah terbaik yang boleh dilakukan golongan belia ialah kekal sebagai pengundi atas pagar.

“Lebih baik jika generasi muda desak parti politik bersaing dan menawarkan perkara yang lebih baik pada masa depan,” kata Wan Saiful.

See original article at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/agenda-belia-umno-tertangguh-orang-lama-enggan-lepas-kuasa

Leave a comment