Publications > Media Statements

Mansuhkan Tarif Ubat-ubatan Untuk Meningkatkan Akses

Ditulis oleh Philip Stevens, Felo Kanan di IDEAS dan Nilanjan Banik, Profesor Ekonomi di Universiti Bennett, New Delhi, India

Pertama kali diterbitkan dalam The Malay Mail Online pada 22 Julai 2020

Walaupun para pengkaji di universiti dan makmal-makmal swasta bekerja siang dan malam untuk mendapatkan vaksin dan rawatan terkini Covid-19, para doktor bergantung kepada ubat-ubatan lama yang sedia ada dalam usaha mereka membantu para pesakit melalui detik hitam dalam hidup mereka.

Permintaan tinggi yang tidak pernah berlaku sebelum ini disebabkan tindakan hospital menyimpan stok ubat-ubatan asas seperti antibiotik, ubat tahan sakit, ubat penenang, dan kortikosteroid telah mengakibatkan kekurangan bekalan dan peningkatan harga di peringkat global.

Lampu hijau sementara yang diberikan oleh pengawal selia ubat di India untuk kenaikan sebanyak 50% bagi harga ubat pencair darah heparin merupakan salah satu contoh. Tekanan berkaitan Covid-19 telah menyebabkan pengawal selia ubat di Pakistan meluluskan kenaikan harga sebanyak 7% bagi ubat-ubatan yang penting. Di UK, harga ubat penahan sakit asas telah melonjak sebanyak 30% semenjak wabak bermula.

Kini merupakan satu ketika yang luar biasa apabila pihak pengeluar bergelut untuk memenuhi permintaan pasaran. Namun, beberapa buah kerajaan telah memburukkan lagi keadaan  apabila mengenakan tarif import tambahan ke atas ubat-ubatan.

Kebanyakan negara, termasuk Malaysia, tidak mengenakan tarif pada ubat-ubatan yang diimport. Tetapi banyak negara berpendapatan sederhana melakukannya.

Menurut laporan yang diterbitkan oleh Geneva Network pada minggu ini, Pakistan mengenakan kadar tarif yang paling tinggi di dunia pada kadar 20%. Tambahan pula, kajian tersebut mendapati trio negara Asia Selatan iaitu Nepal, Pakistan, dan India mempunyai kadar tarif tiga teratas (10% tarif di India). Amerika Latin merupakan satu lagi kawasan tumpuan bagi tarif ubat-ubatan, dengan Argentina dan Brazil mengenakan secara purata hampir 10% kadar tarif.

Rantaian nilai pembuatan farmaseutikal sedang mengalami peningkatan globalisasi; kadar tarif yang rendah juga akan mengakibatkan kesan kumulatif terhadap harga akhir sesuatu produk, yang akhirnya dibayar oleh para pesakit. Satu kajian pada tahun 2017 oleh Pusat Ekonomi Politik Antarabangsa Eropah mendapati bahawa tarif telah menambah beban kumulatif sehingga $6.2 bilion setahun di China. Di Brazil dan India, pesakit mungkin membayar sehingga 80% lebih daripada harga jualan kilang disebabkan oleh tarif. Memansuhkan tarif-tarif ini, berdasarkan kajian tersebut, dapat membantu para pesakit akan penyimpanan agregat sehingga $6.2 bilion di China, $2.8 bilion di Rusia, $2.6 bilion di Brazil, dan $737 juta di India.

Ubat-ubatan sedia ada merupakan satu isu, tetapi Covid-19 ialah satu penyakit yang baru dikenalpasti; satu vaksin baharu ialah satu-satunya penyelesaian jangka panjang. Penciptaan, penghasilan secara besar-besaran dan pengedaran dengan cepat secara global semuanya amat kritikal.

Tarif akan menghalang pengambilan dan penyebaran pantas vaksin, menyebabkan kesengsaraan, kematian, dan kesukaran ekonomi yang berlebihan. Walaupun kebanyakan negara menikmati sistem bebas tarif untuk vaksin, beberapa negara lain pula menaikkan harga melalui tarif import. Sekali lagi India menduduki tangga teratas dunia, dengan tarif vaksin pada kadar 10%. Pakistan dan Bolivia merupakan antara sekumpulan negara yang mengenakan tarif vaksin pada kadar 5%.

Selain ubat-ubatan, barangan keperluan Covid-19 seperti sabun tangan dan alat bantuan pernafasan menjadi lebih mahal disebabkan tarif. Menurut Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), kadar purata tarif yang dikenakan terhadap sabun tangan ialah sebanyak 17% dan beberapa negara mengenakan kadar tarif setinggi 65%. Lima negara Amerika Latin (Ecuador, Bolivia, Venezuela, Brazil, dan Argentina) mempunyai kadar tarif tertinggi terhadap pelitup muka, antara 17% hingga 55%. Brazil, Argentina, dan Venezuela mengenakan kadar tarif import 14% terhadap alat bantuan pernafasan; India mengenakan 10%.

Beberapa buah kerajaan – antaranya Pakistan, Brazil, Colombia, dan Norway – telah menunjukkan kepimpinan dengan cara memberikan pengecualian sementara daripada cukai dan duti import kepada ubat-ubatan berkaitan Covid-19, vaksin, dan bekalan bahan-bahan perubatan. Negara-negara anggota  Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) juga sedang membincangkan pelbagai cadangan untuk menghapuskan cukai dan tarif terhadap produk perubatan berkaitan Covid-19 sekurang-kurangnya selama setahun.

Malaysia juga telah menghapuskan tarif import buat sementara waktu terhadap bekalan barangan berkaitan Covid-19 seperti pelitup muka, sabun, kelengkapan perlindungan, dan alat bantuan pernafasan.

Beberapa perubahan yang dilakukan, walaupun positif, merupakan langkah sementara. Langkah-langkah tersebut membayangkan ketidaktentuan kepada para pengeksport terhadap arah jangka masa panjang sesuatu pasaran. Ia turut menjejaskan persediaan oleh pengeluar ubat-ubatan untuk wabak-wabak pada masa hadapan.

Kerajaan perlu komited pada pengurangan tarif kekal bagi ubat-ubatan, vaksin, dan bekalan perubatan melalui komitmen WTO yang mengikat secara perundangan.

Paling penting, lebih banyak anggota WTO perlu menyokong Perjanjian Farmaseutikal (juga dikenali sebagai “Sifar untuk Sifar”) oleh pertubuhan tersebut secepat mungkin, memperkuat kumpulan 34 negara yang telah bersetuju untuk memansuhkan tarif ubat-ubatan ke atas semua negara anggota WTO.

Negara-negara yang belum memberikan persetujuan khususnya India, Brazil, Afrika Selatan, Rusia, China, dan juga Malaysia.

Malaysia khasnya, tidak menyertai Perjanjian Farmaseutikal WTO bermaksud mana mana kerajaan pada masa hadapan boleh menaikkan tarif ubat-ubatan, sekaligus merugikan pesakit. Menyertai perjanjian tersebut bermaksud ubat-ubatan bebas cukai secara kekal. Hal ini bukan sahaja mustahak untuk menewaskan Covid-19, bahkan merupakan satu legasi positif untuk masa hadapan.

2020-07-27T13:04:14+08:00 27th July 2020|Opinion|Comments Off on Mansuhkan Tarif Ubat-ubatan Untuk Meningkatkan Akses