Publications > Opinion

Kereta Kebangsaan Ketiga: Adakah Malaysia Memerlukannya?

Kereta Kebangsaan Ketiga: Adakah Malaysia Memerlukannya?

Kritikan rakyat terhadap ketidakmampuan negara untuk meneruskan rancangan Kereta Kebangsaan Ketiga adalah wajar. Setiap negara mempunyai sektor yang menjadi pengkhususan kepada negara tersebut, namun adakah industri automotif merupakan bidang yang tepat untuk mengembangkan ekonomi Malaysia?

Rakyat mengajukan persoalan tentang faktor utama yang menjadikan projek ini relevan untuk dilaksanakan pada masa kini. Adakah kerajaan telah betul-betul mengambil kira dari setiap aspek apa yang mampu Malaysia perolehi daripada projek ini? Jika belum, maka kerajaan seharusnya mempertimbangkan pelaksanaan diskusi Waigaya dalam memastikan perbincangan mendalam tentang perlaksaan projek sedemikian. Waigaya merupakan satu format perbincangan utama yang digunakan syarikat automotif dunia dalam menentukan keputusan atau perancangan bagi hala tuju syarikat. Segala kekuatan, kelemahan dan risiko keputusan akan dipertimbangkan dalam perbincangan Waigaya ini.

Ianya menjadi persoalan tentang sebab kerajaan begitu fokus terhadap projek kereta kebangsaan ketiga ini walhal industri ini tidak tersenarai sebagai industri yang mampu memberi impak yang besar kepada ekonomi Malaysia. Jika diteliti data yang dikeluarkan oleh Khazanah, industri automotif tidak tersenarai dalam 10 industri tertinggi yang berpotensi untuk berkembang di Malaysia.

Dalam memastikan penilaian adil diberi terhadap hasrat kerajaan untuk mewujudkan Kereta Kebangsaan Ketiga, sejarah kereta kebangsaan di Malaysia perlu diambil kira.

Prestasi Kereta Kebangsaan Sedia Ada.

Jenama Proton telah ditubuhkan pada tahun 1983 dan penjualan pertama Proton adalah pada tahun 1985. Saga merupakan model pertama yang telah dikeluarkan oleh Proton. Peningkatan jualan Proton adalah jelas ketika itu dan ia merupakan satu perkembangan yang bagus kepada Proton dalam awal penubuhan. Namun begitu, Proton mula menerima kejatuhan yang mendadak pada tahun 1998 kesan kemelesetan ekonomi pada tahun tersebut. Proton kemudiannya melalui satu fasa ketidakstabilan.

Hal ini dapat dilihat melalui data jualan Proton pada tahun 1992 yang berjumlah 15,000 unit berbanding jualan bagi tahun 2008 adalah 1,518 unit. Peratusan penurunan adalah sebanyak 90% dan ini merupakan satu penurunan mendadak bagi Proton terutama untuk kategori kereta penumpang. Proton cuba untuk mengembalikan prestasi jualan dengan memperkenalkan pelbagai model kenderaan baharu dalam menarik kumpulan sasaran terutama rakyat Malaysia untuk membeli kereta jenama tempatan.

Perdagangan eksport merupakan satu tanda aras yang sesuai dalam menunjukkan penerimaan pasaran antarabangsa terhadap Proton. Dua buah negara yang menjadi pasaran utama Proton bagi tujuan eskport ialah United Kingdom dan Australia. Jumlah jualan terkumpul Proton bagi United Kingdon dan Australia adalah sebanyak 141,209 unit dan 34,985 unit sehingga tahun 2015 dan hal ini membuktikan kemampuan Proton dalam menembusi pasaran antarabangsa.

Akan tetapi, penolakan terhadap jenama Proton mula kelihatan apabila jumlah perdagangan eksport untuk tahun 2010 menurun kepada 25,000 unit. Jumlah ini menurun sehingga 1,388 unit pada tahun 2018 dan ia merupakan penurunan sebanyak 95%. Penurunan ini disebabkan oleh peningkatan jumlah keluaran model kereta oleh pemain industri lain terutama model dari jenama Audi dan BMW. Perkara ini disokong dengan data yang menunjukkan jumlah keluaran model kereta pada tahun 1998 adalah sebanyak 260 model dan jumlah ini meningkat tiga kali ganda pada tahun 2012 dengan jumlah 684 model.

Pada peringkat awal penjualan model pertama Proton iaitu Saga, Proton memperoleh 47% penguasaan pasaran domestik bagi tahun 1986. Peratusan ini tidak banyak berubah hasil perlindungan yang telah diberi oleh kerajaan Malaysia. Penguasan ini tidak kekal lama —  hanya sehingga tahun 2005 — rentetan dari pengakhiran perlindungan tersebut. Pada tahun tersebut, Proton telah hilang penguasan pasaran domestic dengan peratusan hanya sebanyak 40% dari jumlah pasaran dan peratusan ini terus menurun pada tahun berikutnya.

Perkembangan Jenama Kereta Lain Dalam Pasaran.

Perkembangan industri terutama peralihan dari Revolusi Industri 2.0 kepada Revolusi Industri 3.0 telah memajukan industri automotif melalui penggunaan teknologi yang lebih cekap dan pantas. Pada fasa ini, pelbagai jenama kereta telah dikeluarkan dan antara pemain besar dalam industri automotive pada ketika itu ialah Amerika Syarikat, Jepun dan Jerman.

Negara Jepun terkenal dengan jenama kenderaan mereka dan antara jenama tersebut adalah Toyota, Honda dan Suzuki. Persamaan yang terdapat antara Honda dan Proton adalah kedua-dua jenama ini dilindungi oleh kerajaan tempatan melalui pelaksanaan polisi ekonomi.

Dalam mengenalpasti tujuan utama kerajaan Jepun melindungi industri automotif tempatan, sejarah negara tersebut hendaklah menjadi titik penelitian. Selepas peperangan dunia ke-2, Jepun mengalami satu fasa kejatuhan akibat kekalahan dalam perang tersebut. Maka dalam memastikan kerajaan Samurai ini tidak hilang di mata dunia, kerajaan Jepun telah menggubal polisi perlindungan bagi mengembangkan industri pembuatan terutama dalam indsutri automotif.

Tujuan perlindungan ini adalah untuk memastikan syarikat seperti Honda mampu bertahan pada peringkat awal penubuhan bagi bersaing dengan pemain industri lain yang jauh lebih stabil terutama dari Amerika Syarikat. Honda telah dilindungi di bawah Polisi Industri Automotif Jepun. Polisi ini memastikan syarikat Honda mempunyai tempoh masa secukupnya untuk membangun dan bertapak secara stabil dalam industri automotif tempatan. Perlindungan ini akan dihentikan apabila Honda telah mempunyai kemampuan untuk bersaing dalam pasaran dan perlindungan ini telah pun dihapuskan oleh kerajaan Jepun.

Kejayaan Honda boleh ditaksirkan berpunca dari fokus mereka dalam penyelidikan dan pembangunan. Honda telah membelanjakan sebanyak RM 7.37 billion dalam penyelidikan dan pembangunan bagi bulan Disember 2018 berbanding Proton yang hanya membelanjakan RM 1.6 billion untuk tahun 2018 bagi Jenama X70. Ini menunjukkan satu perbezaan besar antara Proton dan Honda dalam memastikan syarikat terus seiring dalam penggunaan teknologi terkini.

Penumpuan kepada perdagandan eksport merupakan salah satu strategi Honda. Dari April 2018 sehingga Mac 2019, Honda telah mengeksport sebanyak 184,946 unit kenderaan dan jumlah ini meningkat sebanyak 91.9% berbanding tahun fiskal sebelumnya. Tidak dinafikan bahawa Proton juga berusaha untuk meningkatkan jumlah perdagangan eksport. Hal ini dapat dilihat dengan peningkatan jumlah eskport sebanyak 1388 unit bagi tahun 2018 berbanding 280 unit bagi tahun 2017 walau jumlah tersebut agak kecil bagi sebuah syarikat yang berusia 35 tahun.

Polisi Alternatif 

Sektor yang perlu kerajaan Malaysia fokus ialah sektor yang memberi nilai tambah yang besar kepada ekonomi seperti getah asli. Berdasarkan pengiraan Khazanah, sektor getah mampu memberi nilai tambah sebanyak RM 901.52 juta kepada pasaran domestik dan nilai eskport Malaysia. Malaysia adalah antara pengeluar terbesar getah asli di dunia, berada di tempat ketiga dalam jumlah penghasilan getah asli dan jika kerajaan meningkatkan penggunaan teknologi dalam industri ini, sudah pasti sektor ini akan mampu memberi nilai tambah yang sangat besar kepada ekonomi Malaysia.

Jika kita ambil negara Thailand sebagai contoh, Thailand masih bertumpu kepada indsutri pertanian dan keputusan ini memberi impak yang besar kepada ekonomi negara tersebut. Hal ini terbukti dengan Thailand yang memegang rekod sebanyak 8.65% dari jumlah KDNK bagi tahun 2017. Jika rakyat Malaysia beranggapan bahawa industri pertanian akan membuat negara terus mundur dalam pembangunan maka itu satu falasi nyata terhadap golongan petani di Malaysia. Peningkatan teknologi dalam industri ini akan memastikan pengeluaran getah mengambil masa lebih singkat, lebih bermutu dan mampu bersaing dengan getah sintetik di pasaran antarabangsa.

Industri berat sememangnya menjadi kegilaan kepada mana-mana pemimpin dalam memastikan nama mereka terus kekal dalam sejarah negara dan juga hati rakyat. Tetapi ia merupakan satu risiko yang besar kepada rakyat Malaysia untuk menanggung satu lagi projek mega yang tidak memberi kepastian manfaat terhadap mereka. Jika kerajaan ingin menggerakkan ekonomi maka perdagangan eksport adalah satu cara terbaik untuk capai objektif tersebut.

Fokus yang perlu ditekankan oleh kerajaan adalah untuk mengembangkan industri yang berpaksikan perdagangan eskport. Liberalisasi telah menyebabkan pasaran dunia menjadi begitu terbuka maka proses perdagangan menjadi lebih rancak. Ini peluang yang patut diambil oleh kerajaan dengan memberi focus kepada sektor yang memberi sumbangan utama kepada perdagangan eksport Malaysia seperti industri elektrik & elektronik dan industri petroleum.

Jika diteliti, industri ini masih kurang memberi nilai tambah kepada ekonomi kerana masih bergantung kepada barangan import dengan nilai import industri elektrik & elektronik adalah sebanyak 29.8% manakala 9.8% bagi industri petroleum dari jumlah keseluruhan import Malaysia bagi tahun 2018. Dua sektor ini boleh ditambah baik melalui dua cara, iaitu pengunaan teknologi baharu dengan peningkatan inovasi di dalam negara dan peningkatan penglibatan Malaysia yang lebih banyak dengan Perjanjian Perdagangan Bebas.

Faktor kualiti kenderaan juga perlu diberi penekanan oleh kerajaan. Malaysia perlu mengambil iktibar melalui kajian kes Proton dan Perodua. Antara sebab mengapa penguasaan pasaran domestik Proton jatuh pada tahun 2005 adalah kerana kenderaan yang dihasilkan berada di bawah paras “berkualiti”, menyebabkan pelanggan sanggup membeli kenderaan yang lebih mahal tetapi lebih berkualiti dan menjamin keselamatan individu dan keluarga mereka. Teori ini terbukti dengan Proton memperoleh markah terendah bagi kepuasan pelangan bagi pasaran domestik berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Autoworld bagi tahun 2005.

Satu penambahan yang mendokong premis bahawa projek Kereta Kebangsaan Ketiga ini tidak patut menjadi fokus adalah kerana projek ini merupakan percangahan jelas dengan manifesto Pakatan Harapan. Berdasarkan Janji Ketujuh Buku Manifesto Pakatan Harapan, ianya telah dinyatakan bahawa kerajaan akan mengurangkan jumlah penggunaan kenderaan bagi mengurangkan pencemaran alam sekitar. Jika benar kerajaan ingin laksanakan janji ini maka projek yang patut diberi tumpuan adalah pembinaan pengangkutan awam yang lebih menyeluruh di Malaysia.

Kesimpulannya, kerajaan tidak sepatutnya menjadi penentu kepada pergerakan pasaran kerana ia bukanlah tugas kerajaan untuk melakukan perkara tersebut bahkan keputusan tanpa rasionaliti yang jitu akan menganggu kestabilan pasaran sedia ada. Sebelum kerajaan ingin melaksanakan Kereta Kebangsaan Ketiga, penyelidikan secara menyeluruh perlu dilakukan terutama tentang kemampuan fasiliti di Malaysia dalam pembuatan juga kemandirian kereta elektrik sebagai kereta kebangsaan yang baru.

AIMAN WAN ALIAS adalah pembantu penyelidik di institut demokrasi dan hal ehwal ekonomi (IDEAS)

2019-07-05T14:31:34+00:00 5th July 2019|Opinion|Comments Off on Kereta Kebangsaan Ketiga: Adakah Malaysia Memerlukannya?