Publications > Media Statements

Kawalan Harga Tidak Akan Membantu

Ditulis oleh Carmelo Ferlito, Felo Kanan IDEAS

Pertama kali diterbitkan dalam Free Malaysia Today pada 20 April 2020

Segala dasar dirangka untuk menangani isu, dengan niat yang baik. Walau bagaimana pun, perkara yang paling sukar dalam merangka dasar ialah di dalamnya terdapat secara tersirat analisis yang seimbang terhadap semua kompromi, demi mengelakkan hasil yang lebih buruk daripada masalah awal. Kawalan harga secara kebiasaannya diperkenal untuk mengekang kenaikan harga ketika kecemasan atau dalam industri khusus.

Kerajaan Malaysia, ketika krisis COVID-19 ini berlaku, telah mengenakan skim kawalan harga maksimum pada barang-barang penting bermula 15 April 2020 sehingga berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kelak. Saya berpendapat bahawa kawalan harga bukan langkah yang baik untuk mengurangkan pergerakan kenaikan harga ketika waktu kecemasan. Hal ini lebih tepat dalam senario sekarang apabila pergerakan kenaikan harga yang terhasil bukan diakibatkan oleh kekurangan barangan kerana musibah atau malapetaka semulajadi, sebaliknya merupakan kesan dari dasar yang dirangka untuk membendung penyebaran COVID-19. Dalam situasi sekarang, para pengeluar bersedia untuk memenuhi tekanan yang datang dari permintaan, semampu mereka.

Untuk memahami pandangan saya ini, penting untuk kita ketahui dengan jelas apakah itu harga. “Harga ialah satu isyarat yang dibaluti insentif” (Alex Tabarrok dan Tyler Cowen, Modern Principles of Economic). Hal ini bermaksud, jika harga sesuatu barang sedang meningkat, pasaran sedang memberi isyarat kepada pengeluar; lebih banyak peluang mengaut keuntungan sedang menunggu untuk dieksploitasi (insentif).  Kepada pembekal perkara ini agak kurang penting, iaitu sebab utama kepada kenaikan harga; tetapi mereka perlu tahu perubahan harga itu sedang berlaku, supaya tindakan sepatutnya dapat diambil.

Ketika PKP, para pengguna perlu mengubah kebiasaan mereka dan perubahan yang paling besar ialah lebih ramai rakyat Malaysia yang makan di rumah; oleh itu, rakyat Malaysia perlu membeli lebih banyak makanan dari pasar raya. Kecenderungan ini turut disertai bersama, pada ketika awal perintah sekatan terutamanya, kecenderungan semula jadi untuk menyorok bekalan makanan secara berlebihan dek ketakutan akan situasi yang semakin meruncing. Permintaan yang semakin tinggi menyebabkan harga melonjak lebih tinggi. Fenomena ini dikuatkan lagi dengan gangguan pada rantaian bekalan yang tercipta disebabkan PKP itu sendiri: jika permintaan terhadap telur meningkat, lantas melonjakkan harga, manakala bekalan pula tidak dapat memenuhi permintaan disebabkan, sebagai contoh, sebahagian produk sampingan seperti pembungkusan yang tidak tersedia, akan lebih memburukkan lagi kenaikan harga.

Melalui kawalan harga, pihak kerajaan sedang menzahirkan niat untuk campur tangan demi melindungi kuasa membeli rakyat. Namun, niat yang baik tidak semestinya akan membawa kepada keputusan yang dikehendaki dan sains ekonomi sering kali memberi amaran kepada kita peri pentingnya kesan yang tidak disengajakan. Malah, sebenarnya kawalan harga akan membuatkan keadaan menjadi lebih teruk. Apabila berlaku kenaikan harga, para pengeluar menerima isyarat bahawa lebih banyak produk dalam permintaan dan mereka boleh membuat segala yang termampu untuk memenuhi permintaan tersebut dan meraih lebih banyak keuntungan. Bekalan baharu yang memasuki pasaran akan mengendurkan tekanan itu lalu harga dapat dikembalikan seperti biasa atau menjadi lebih rendah jika bekalan melebihi permintaan sebenar (disebabkan oleh kenaikan harga). Proses pelarasan sebegini tidak berlaku sekelip mata, dan juga tidak sempurna, ia mengambil masa dan berubah langkah demi langkah. Interaksi antara keluk bekalan dan permintaan ini yang diterangkan di dalam buku teks ekonomi memberi petunjuk kepada arah perubahan harga namun tidak dapat memberi gambaran yang adil kepada kerumitan proses yang berlaku. Walaupun pertumbuhan harga barangan perlu diberikan ruang untuk beberapa ketika supaya proses penyelarasan pasaran berjaya disempurnakan serta hasilnya tidak akan sempurna, ia merupakan hasil yang lebih baik daripada alternatifnya iaitu kawalan harga.

Jika kenaikan permintaan melonjakkan harga menjadi lebih tinggi lalu dikenakan harga siling, para pembekal tidak akan menerima “isyarat” bahawa produk itu mempunyai permintaan yang lebih tinggi dan tidak akan menerima “insentif” dari isyarat tersebut. Hal ini menyebabkan mereka tidak akan menyelaraskan semula bekalan kerana harga siling itu menghalang harga barangan menjalankan fungsi penyampaian maklumat. Kesannya, sebahagian daripada permintaan tersebut tidak akan dipenuhi, dalam bahasa yang lebih mudah, menyebabkan rak-rak jualan yang kosong.

Tambahan pula, membiarkan harga barang  bebas diselaraskan mengikut keadaan juga memberi beberapa kelebihan; 1. Harga yang ditentukan oleh pasaran tidak memerlukan sebarang mekanisme perundangan atau penguatkuasaan, manakala kawalan harga oleh kerajaan memerlukan mekanisme penguatkuasaan dan pendakwaan yang memakan masa dan kos. 2. Harga pasaran yang lebih tinggi akan mengelakkan sebarang dorongan untuk menyorokkan barangan seperti yang berlaku di awal PKP; Penjimatan adalah digalakkan; dengan mengekalkan harga yang rendah, perkara sebaliknya yang berlaku. 3. Harga pasaran yang lebih tinggi akan mendorong bekalan barangan bertindak balas dengan seberapa segera yang mungkin.

Tidak ada keajaiban yang berlaku dalam dasar ekonomi, oleh itu kita mempunyai dua pilihan; untuk membenarkan pertumbuhan harga untuk sementara waktu supaya dapat menarik bekalan tambahan ke dalam pasaran yang akan membuatkan berlaku proses penyelarasan harga; atau penetapan harga pada kadar yang rendah secara paksaan dan meningkatkan risiko berlaku pertambahan jumlah rak-rak jualan yang kosong.

2020-04-20T13:45:16+00:00 20th April 2020|Opinion|Comments Off on Kawalan Harga Tidak Akan Membantu