Publications > Media Statements

IDEAS merumuskan bahawa hampir setahun menjadi kerajaan, hampir satu pertiga daripada janji ekonomi dalam Buku Harapan telah ditunaikan atau sedang maju

Kuala Lumpur, 10 April 2019- IDEAS telah melancarkan edisi pertama Projek Pantau, suatu kad laporan yang menganalisa prestasi PH dalam melaksanakan janji – janji di dalam manifesto Buku Harapan. Untuk edisi pertama ini, IDEAS telah menganalisa 192 janji – janji kecil yang dikenalpasti daripada 23 janji utama. Semua janji daripada Teras 1 (Meringankan Bebanan Kehidupan Rakyat) dan Teras 3 (Merancak Pertumbuhan Ekonomi yang Adil dan Saksama) serta tiga janji daripada Teras 2 (Mereformasi Institusi Pentadbiran dan Politik) telah dianalisa.

Kami merumuskan bahawa kerajaan telah menunjukkan prestasi yang baik dalam menunaikan janji – janji manifesto. Dalam tempoh masa hampir  setahun memerintah, lebih daripada 29 peratus janji – janji ekonomi telah pun dicapai atau pun sedang maju. Antara kejayaan yang dapat dikenalpasti ialah:

  • Kerajaan telah berjaya melaksanakan janji – janji utama dengan cepat, contohnya pemansuhan GST;

  • Kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan untuk membantu Industri Kecil dan Sederhana (IKS) termasuk menggalakkan penggunaan teknologi;

  • Kerajaan telah menambahbaik ketulusan belanjawan dan keseluruhan kedudukan kewangan Kerajaan;

  • Kerajaan telah pun melancarkan Pelan Anti-Rasuah Nasional (2019-2023) yang mengandungi inisiatif khusus mengenai sistem perolehan kerajaan.

“Cabaran terbesar buat PH ialah dari segi pelaksanaan, tetapi prestasi setakat ini menunjukkan bahawa usaha mereka ke arah ini adalah memberangsangkan. Kerajaan seharusnya mengekalkan usaha ini dan memastikan bahawa kejayaan mereka di sampaikan kepada orang awam,” kata Faiz Zaidi, Eksekutif di Unit Demokrasi dan Tadbir Urus, IDEAS.

Walaubagaimanapun, terdapat sesetengah janji yang berada pada tahap membimbangkan, terutamanya beberapa sasaran tinggi yang sukar dicapai:

  • Kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah untuk mengurangkan kos hidup yang tinggi, contohnya memansuhkan GST. Setakat ini, langkah-langkah tersebut memfokuskan kepada langkah jangka pendek seperti subsidi dan kawalan harga, dan bukan pembaharuan holistik yang dapat mengurangkan harga dengan lebih mapan;

  • BR1M telah disusun semula menjadi Bantuan Sara Hidup, tetapi tidak diletakkan di bawah kawal selia badan berkanun yang dapat mengurangkan risiko ia disalahgunakan;

  • Walaupun kerajaan sedang melaksanakan strategi yang agak terperinci dalam sektor perumahan, langkah ini kemungkinan tidak memadai untuk mencapai sasaran satu juta rumah mampu milik, memandangkan strategi dan fokus yang dibuat oleh Kerajaan yang lepas telah gagal dilaksanakan;

  • Kerajaan telah meningkatkan belanjawan untuk kesihatan namun masih berada di tahap rendah berbanding yang diperlukan untuk mencapai 4 peratus dari KDNK;

  • Kerajaan tidak memberikan komitmen yang penuh dan strategi yang jelas dalam matlamat mereka untuk mereformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan atau Government Linked Companies (GLCs) dalam janji manifesto untuk memastikan GLC tidak akan bersaing dengan syarikat swasta;

  • Walaupun pelaburan dan perdagangan semakin meningkat, Kerajaan telah menghentikan proses ratifikasi perjanjian Comprehensive and Progressive Trans Pacific Partnership (CPTPP) dan prospek untuk EU Free Trade Agreement juga semakin berkurangan. Ini telah menyebabkan kerisauan dari pelbagai pihak terhadap Kerajaan untuk memacu polisi dan hala tuju yang lebih jelas untuk perdagangan dan industri di Malaysia.

“Dalam hal ini, kami berharap pihak Kerajaan dapat mengubah pendekatan mereka bagi memastikan setiap matlamat dalam manifesto mereka dapat dicapai,” kata Faiz.

Berikut adalah merupakan 3 perkara utama yang telah pihak Kerajaan lakukan namun tiada hasil ketara dapat dilihat:

  • Kerajaan telah memperuntukkan belanjawan untuk menaik taraf infrastruktur di kawasan Orang Asal tetapi tiada pendekatan yang komprehensif untuk menyelesaikan isu – isu yang dihadapi oleh masyarakat Orang Asal seperti hak milikan tanah dan pendidikan;

  • Kerajaan telah mencadangkan reformasi dalam percukaian termasuk membentuk Jawatankuasa Reformasi Cukai, namun tidak berapa jelas berkenaan halatuju  dan skop reformasi yang akan dilakukan. Kerajaan perlu mengimbangi persaingan keperluan dalam meningkatkan keuntungan tambahan untuk membiayai perkhidmatan awam dan menepati janji mereka untuk mengurangkan bebanan cukai yang dikenakan;

  • Walaupun Kerajaan telah memperuntukkan sumber kewangan untuk menyokong Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dalam bentuk pinjaman, ianya tidak memperlihatkan seperti Kerajaan akan menyemak dan mengurangkan bebanan peraturan yang dikenakan terhadap perniagaan kecil dan sederhana;

Dalam hal ini, kami mencadangkan agar Kerajaan untuk terus bergerak kehadapan dalam memastikan komitmen yang diberikan adalah 100% terhadap setiap janji – janji dan memberi hala tuju yang jelas untuk mencapainya. Kami juga mengalakkan pihak Kerajaan untuk menjadi lebih strategik dan teratur dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat. Ini adalah penting bukan sahaja untuk menunjukkan apa yang telah mereka capai, tetapi negara demokrasi matang seperti Malaysia perlu mempunyai masyarakat berpengetahuan yang mampu menaikkan perbincangan mengenai politik ke tahap yang lebih tinggi,” kata Faiz.

Untuk Projek Pantau ini, kami akan bekerjasama rapat bersama Harapan Tracker yang telah diwujudkan sejurus selepas Pilihan Raya ke 14 yang lalu dan juga rakan – rakan dari NGO dan sebagainya yang turut sama memberikan usaha mereka untuk memantau agenda reformasi Kerajaan. Kami berharap masyarakat awam dapat menghantar e-mel kepada kami di projekpantau@ideas.org.my sekiranya mereka mempunyai sebarang soalan dan cadangan berkenaan Projek Pantau ini.

Ringkasan Eksekutif boleh di muat turun di sini.

2019-04-10T09:51:00+00:00 10th April 2019|Media Statements|Comments Off on IDEAS merumuskan bahawa hampir setahun menjadi kerajaan, hampir satu pertiga daripada janji ekonomi dalam Buku Harapan telah ditunaikan atau sedang maju