Kuala Lumpur, 15 Mei 2020 – IDEAS telah melancarkan Kad Laporan Akhir Projek Pantau, “Laporan Akhir Prestasi Kerajaan Pakatan Harapan”, yang ditulis oleh para penyelidik IDEAS, Faiz Zaidi dan Jasmine Redzuan. Laporan ini merupakan yang terakhir daripada siri kad-kad laporan prestasi kerajaan Pakatan Harapan selama 21 bulan memerintah.
Untuk merumuskan prestasi kerajaan Pakatan Harapan sepanjang pentadbiran, perlu ditekankan bahawa janji-janji yang termaktub di dalam Buku Harapan sepatutnya dipenuhi dalam tempoh satu penggal iaitu lima (5) tahun. Oleh itu, analisa yang dilakukan telah pun mengambil kira bahawa tempoh kerajaan PH memerintah telah dipendekkan apabila pada 24 Februari 2020, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir telah meletakkan jawatan. Krisis ini telah menyebabkan pengaturan semula politik yang diikuti oleh peralihan kuasa pentadbiran oleh kerajaan Perikatan Nasional.
Dalam tempoh 21 bulan memerintah, hanya beberapa kemajuan besar yang dapat dilaksanakan oleh PH seiring dengan janji-janji yang terkandung dalam Buku Harapan. Walaupun kerajaan PH telah mengatur strategi yang komprehensif bagi mencapai sasaran-sasaran tinggi yang telah dirancang, ia tidak mungkin akan dapat dicapai dalam tempoh masa singkat pentadbiran mereka. Akhir sekali, jelas bahawa kerajaan PH kekurangan iltizam politik dalam melaksanakan reformasi yang telah dijanjikan dalam sesetengah isu.
Para penulis juga percaya bahawa kerajaan Perikatan Nasional yang baharu ini perlu meneruskan agenda perubahan yang telah dimulakan oleh kerajaan PH. Perubahan seperti memperkukuh institusi, pembiayaan politik yang telus dan anti-rasuah perlu dititikberatkan bagi memastikan negara Malaysia berada di landasan yang betul untuk menjadi sebuah negara yang mementingkan integriti, tatakelola kerajaan yang baik, dan institusi yang kuat. Perikatan Nasional juga perlu memberi keutamaan untuk memulihkan kepercayaan terhadap kerajaan dan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Sebelum terbitnya Laporan Akhir Projek Pantau ini, kami telah mengadakan webinar untuk membincangkan pencapaian keseluruhan, kegagalan dan kerja-kerja yang sedang maju oleh Pakatan Harapan sejak 9 Mei 2018 yang lalu. Webinar ini juga membincangkan mengenai inisiatif polisi yang harus dikemukakan oleh kerajaan Perikatan Nasional serta persoalan yang lebih besar mengenai budaya politik Malaysia.
Pautan kepada siri kad-kad laporan Projek Pantau untuk bacaan lanjut:
— END —
Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi Faiz Zaidi, Eksekutif Penyelidik IDEAS melalui emel faizzaidi@ideas.org.my.
Rakaman webinar tersebut boleh ditonton di bawah.