Publications > Opinion

Dasar ketelusan perolehan harus realistik

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam ucapan dasar Belanjawan 2019 baru-baru ini mengumumkan Akta Perolehan Kerajaan akan dibentang di Parlimen pada tahun ini. Tujuan akta ini adalah untuk memperkukuh ketelusan dalam proses perolehan kerajaan, sekali gus mengurangkan ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan.

Niat yang murni daripada pihak Kementerian Kewangan ini wajar dipuji, namun wajar juga dipersoalkan keberkesanan akta yang bakal digubal ini. Hal ini kerana sistem perolehan kerajaan di Malaysia kini sudah pun ditadbir oleh beberapa akta dan instrumen kerajaan.

Sebahagian daripada akta ini ialah Akta Tatacara Kewangan 1957, Akta Perwakilan Kuasa 1956 dan Akta Kontrak Kerajaan 1949. Antara instrumen kerajaan yang sedia ada termasuklah Arahan Perbendaharaan, Pekeliling Perbendaharaan dan Pekeliling Kontrak Pusat Persekutuan.

Profesor David Seth Jones, seorang pakar dalam bidang perolehan mengakui bahawa ekosistem perolehan kerajaan di Malaysia sedikit sebanyak menepati piawaian antarabangsa. Tambahan pula, dasar ini digubal untuk mencapai objektif murni seperti berikut:

  • Mengurus perolehan secara cekap dan berkesan.
  • Mendapatkan harga yang paling menguntungkan kerajaan.
  • Menggalakkan pertumbuhan industri tempatan dan penggunaan bahan/ barangan/perkhidmatan tempatan
  • Menggalakkan pemindahan teknologi yang bersesuaian dengan kehendak semasa sektor industri negara.
  • Sebagai alat untuk mencapai dasar-dasar nasional.

Wajib Persoalkan

Sebagai rakyat Malaysia, wajib untuk kita persoalkan keberkesanan dasar perolehan kerajaan ini apabila saban tahun Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mendedahkan pelbagai projek kerajaan yang dibelenggu ketirisan, pembaziran, kelewatan pelaksanaan projek, kualiti bahan yang rendah dan pembelian melebihi harga pasaran. Sebagai contoh, LKAN tahun 2012 mendedahkan ibu pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah membelanjakan RM6.86 juta untuk perolehan kasut pada tahun 2009 hingga 2013. LKAN melaporkan sehingga hujung tahun 2012, baki kasut yang dibeli pada tahun 2009 masih belum diagihkan dan sejumlah 7,659 pasang kasut bemilai RM602,089 telah rosak dan perlu dilupuskan.

LKAN 2011 pula melaporkan telah berlaku kepincangan dalam projek penyelenggaraan sistem maklumat hospital oleh Kementerian Kesihatan di mana terdapat perbezaan harga hingga mencapai jumlah RM23.95 juta di antara bayaran tuntutan yang dibuat kepada kementerian dan bayaran sebenar ditanggung oleh kontraktor.

Pendedahan LKAN yang boleh dikira sangat membimbangkan adalah kes pembinaan Hospital Tampin oleh Fajarbaru Builders Sdn. Bhd. yang dilapor pada 2015. Antara kelemahan yang dilaporkan ialah Dewan Bedah tidak dapat digunakan dua tahun selepas penyerahan projek kepada Kementerian Kesihatan, dinding yang retak di 1,182 tempat di seluruh hospital dan reka bentuk tangki air tidak sesuai sehingga menyebabkan wujudnya Total Coliform Bacteria di dalam sampel air dari tangki tersebut.

Melalui LKAN 2017, iaitu laporan terkini di laman web Jabatan Audit Negara juga mendedahkan kepincangan yang berlaku di dalam projek Bahagian Air Luar Bandar (BALB) di bawah kelolaan Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Perolehan perkhidmatan kenderaan bagi dua kontraktor di bawah projek itu dibuat melebihi had bilangan maksimum dibenarkan. Kes ini mengakibatkan lebihan bayaran berjumlah RM376,365. Jika dijumlahkan semua kerugian yang ditanggung kerajaan akibat proses perolehan, tidak mustahil jumlahnya mencecah sehingga berbilion ringgit.

Perkara ini tentunya merugikan rakyat Malaysia mengenangkan wang yang digunakan kerajaan dalam proses perolehan ini merupakan hasil kutipan cukai daripada rakyat. Pada saat kantung kerajaan berada pada tahap yang membimbangkan, setiap perbelanjaan wajar dipersoal. Hal ini kerana banyak projek kerajaan yang sepatutnya memberi manfaat kepada rakyat tidak setimpal dengan kos terpaksa ditanggung kerajaan.

Ketirisan

Kerugian dan ketirisan yang didedahkan LKAN saban tahun menunjukkan masih banyak yang perlu ditambah baik dalam sistem perolehan kerajaan. Menurut badan bukan kerajaan Center to Combat Corruption and Cronyism (C4), antara masalah utama yang dapat dikenalpasti ialah kelemahan dalam sistem kawalan dalaman sistem perolehan itu sendiri.

Sebagai contoh, terdapat kelemahan dalam penilaian keperluan dan analisis pasaran sebelum perancangan perolehan dibuat. Menurut C4 lagi, terdapat banyak projek dilancarkan kerajaan semata-mata kerana terdapat peruntukan untuk dibelanja ataupun wujudnya peluang untuk mengeksploitasi peruntukan demi kepentingan diri. Persoalan yang timbul daripada laporan ini, mengapa dengan sistem perolehan yang diiktiraf sebagai menepati piawaian antarabangsa, masih begitu banyak ketirisan berlaku? Adakah ini menunjukkan bahawa kewujudan undang-undang dan prosedur semata-mata tidak mencukupi? Realitinya, walaupun undang-undang dan prosedur wujud untuk menghindari berlakunya pembaziran dan ketirisan, budaya politik yang mementingkan kuasa naungan, kebergantungan kepada kontrak kerajaan dan pelantikan kroni untuk melaksanakan projek masih menjadi kebiasaan.

Persoalannya, adakah penambahan undang-undang mampu menjadi penawar kepada segala masalah ini? Reformasi total terhadap sistem perolehan kerajaan haruslah merangkumi dua aspek. Pertamanya, haruslah mengambil kira penghubungan yang kuat di antara bisnes dan politik. Kedua, usaha ini harus memastikan mana-mana pihak yang menyalahgunakan sistem perolehan demi kepentingan diri sendiri mahupun politik mestilah dijatuhkan hukuman setimpal.

Tambahan pula, penguatkuasa undang- undang juga harus jelas apakah sebenarnya objektif ketelusan sistem perolehan – adakah ia bertujuan untuk mendapatkan barangan dan perkhidmatan terbaik ataupun pada harga paling murah? Harga yang murah tidak semestinya menjamin kualiti tinggi, begitu juga sebaliknya.

Saranan saya kepada menteri ialah kementerian beliau membuat analisis yang teliti mengenai sistem perolehan kerajaan sedia ada sebelum mengusulkan undang-undang baharu. Lazimnya, undang-undang yang digubal oleh para pembuat dasar gagal mengambil kira realiti yang melanda sistem sedia ada, menyebabkan dasar tersebut hilang impak yang diharapkan.


Aira Azhari is a Senior Executive, Democracy and Governance Unit at the Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS)

First published in Utusan Malaysia, 29th January 2019.

2019-01-29T13:19:30+00:00 29th January 2019|Opinion|Comments Off on Dasar ketelusan perolehan harus realistik