Publications > Media Statements

Dasar-dasar kesihatan untuk pelarian yang lapuk dan bersifat xenofobia boleh mendedahkan semua komuniti kepada risiko

Ditulis oleh Vaisnavi Mogan Rao, Penyelidik Eksekutif Kanan IDEAS

Beberapa bulan terakhir ini amat mencabar kepada semua, di mana sahaja mereka berada. Namun, salah satu daripada akibat terbesar COVID-19 yang dapat kita perhatikan ialah bagaimana krisis global telah memburukkan lagi ketidaksamaan yang sedia ada. Perjuangan Malaysia menentang COVID-19 telah dipuji sebagai satu kejayaan. Tindak balas kerajaan telah berjaya mengurangkan kadar pembiakan virus di bawah kadar satu, dengan secara perlahan kita membuka semula semua sektor ekonomi. Tambahan pula, jumlah kematian yang rendah di Malaysia sepanjang wabak ini mencerminkan sistem kesihatan yang mantap serta koordinasi dan pengurusan tindak balas krisis yang berkesan. Walaupun begitu, ketidaksamaan terhadap akses kesihatan di Malaysia masih wujud dan hal ini diburukkan lagi dengan pembuatan keputusan yang lemah berpunca dari xenofobia.

Sehingga bulan April 2020, terdapat kira-kira 177,800 orang pelarian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) di Malaysia. Namun, jumlah pencari suaka yang tidak berdaftar ialah lebih tinggi. Wabak COVID-19 telah memberi cabaran yang sukar kepada pelarian dan pencari suaka di Malaysia. Komuniti terpinggir ini menjadi lebih terdedah sepanjang wabak dan arahan kawalan pergerakan, disebabkan tiada jaminan pekerjaan dan kebergantungan yang tinggi kepada sumbangan dan bantuan kemanusiaan. Iltizam politik untuk meratifikasi Konvensyen Status Pelarian 1951 atau merumuskan dasar yang tepat terhadap pelarian merupakan akar kepada permasalahan ini; satu dasar yang menyeluruh  dapat membantu Malaysia benar benar melakukan progres dalam menangani nasib para pelarian dan pencari suaka. Oleh itu, kekurangan terhadap akses kesihatan bagi pelarian di Malaysia bukan sesuatu yang baru; wabak ini hanya menyerlahkan betapa tidak berkesan jurang sistemik yang terdapat dalam dasar, dan boleh menimbulkan satu cabaran keselamatan kepada semua ketika krisis.

Namun, pusingan-U pihak kerajaan terhadap janji awal untuk tidak menahan atau menangkap “pendatang haram” sewaktu perintah kawalan pergerakan disebabkan wabak merupakan satu pelanggaran hak asasi manusia dan satu langkah ke belakang dalam tindak balas COVID-19 Malaysia. Tindak balas kesihatan COVID-19 merupakan satu kejayaan kerana ia dipimpin oleh pakar-pakar kesihatan, dan langkah untuk menangkap “pendatang haram” dan menahan mereka adalah salah atas dasar hak asasi manusia dan keselamatan kesihatan.

Dari sudut pandang kesihatan awam, menahan mereka di dalam penjara yang sesak tanpa mengambil langkah-langkah penjarakan sosial secara asasnya telah menyediakan tempat pembiakan yang amat sesuai kepada virus tersebut. Kita telah menyaksikan terdapat tiga kluster pusat tahanan imigresen. Pada 4 Jun, terdapat 270 kes COVID-19 telah dikesan di Depot Imigresen Bukit Jalil, menjadikannya lonjakan harian paling tinggi sejak wabak ini bermula. Penahanan juga telah meningkatkan ketakutan dalam kalangan komuniti pelarian lalu menyebabkan mereka lari menyorokkan diri, mengelakkan mereka dari mengakses perkhidmatan kesihatan dan mencipta risiko penyebaran virus yang lebih tinggi dalam populasi.

Mengurus wabak untuk populasi yang tidak berdaftar merupakan satu cabaran, bagaimana pun terdapat pelbagai penyelesaian  yang tidak melanggar hak asasi manusia dan mencipta lebih kebimbangan kesihatan awam boleh diteroka dan diperlukan segera ketika Malaysia memasuki Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Penyelesaian alternatif

Pertama, penahanan pelarian dan pencari suaka harus dihentikan. Dengan kadar jangkitan yang semakin meningkat di pusat-pusat tahanan, kerajaan perlu memikirkan semula strategi melawan wabak dalam komuniti ini. Walaupun pelarian yang berdaftar dengan UNHCR dikecualikan daripada tahanan atau dilepaskan setelah pengesahan identiti, mereka yang tidak berdaftar pula mempunyai perlindungan yang sedikit. Di samping itu, seperti yang dicadangkan oleh ketua misi Doctors Without Borders (MSF) Beatrice Lau, kerajaan sepatutnya mempertimbang pemansuhan sementara Pekeliling 10/2001 oleh Kementerian Kesihatan yang memerlukan para doktor melaporkan kepada polis dan pihak berkuasa imigresen “pendatang haram” yang mendapatkan khidmat kesihatan. Pemansuhan Pekeliling 10/2001 akan membenarkan profesional perubatan memberi rawatan perubatan tanpa mengira status imigresen. Rasa takut ditangkap dapat dikurangkan dan juga menggalakkan para pelarian untuk mendapatkan rawatan jika mereka mengalami sebarang simptom.

Dalam jangka masa sederhana, kerajaan juga perlu mempertimbang dasar-dasar inovatif untuk mengurangkan halangan pelarian terhadap perkhidmatan kesihatan. Kos meningkatkan akses para pelarian kepada kesihatan tidak semestinya ditanggung oleh kerajaan semata mata; kerjasama dengan sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) sedia ada yang terlibat dengan komuniti ini boleh diteroka.

Sebagai alternatif, sebagaimana yang telah dicadangkan oleh sekumpulan ahli masyarakat sivil Malaysia, satu akta kesihatan untuk bukan warganegara yang merangkumi pelarian dan pencari suaka akan memberi faedah kepada semua. Akta kesihatan untuk bukan warganegara ini akan memberi hak kesihatan asasi kepada pelarian dan mengurangkan kesan kesihatan awam yang negatif disebabkan dasar-dasar pengecualian seperti yang kita saksikan sepanjang wabak ini.

Kerajaan Malaysia berterusan mengelak dari mengakui bahawa para pelarian yang tinggal dalam kalangan kita, merupakan sebahagian daripada komuniti kita. Tidak mempedulikan keperluan mereka dan terus kekal dengan keadaan tanpa dasar ialah tidak berperikemanusiaan, tidak praktikal, dan tidak lestari. Para pelarian dan pencari suaka ialah golongan yang wujud akibat krisis. COVID-19 telah menunjukkan kepada kita bahawa sesiapa sahaja, di mana jua berpotensi terdedah kepada kesan-kesan negatif sesuatu krisis. Amat penting untuk melihat wabak ini sebagai satu peluang yang tepat untuk memahami bagaimana kelompongan dalam sistem penjagaan kesihatan kita boleh menghadirkan cabaran kepada keselamatan kesihatan kita, dan bekerja ke arah memperbaikinya.

2020-07-03T14:36:36+00:00 3rd July 2020|Opinion|Comments Off on Dasar-dasar kesihatan untuk pelarian yang lapuk dan bersifat xenofobia boleh mendedahkan semua komuniti kepada risiko