Publications > Media Statements

Apakah Masa Depan Ekonomi Malaysia?

Ditulis oleh Carmelo Ferlito, Felo Kanan IDEAS

Pertama kali diterbitkan dalam The Malaysian Insight pada 27hb Mei 2020

Dasar-dasar perintah sekatan di seluruh dunia, yang dilaksanakan untuk mencegah penularan COVID-19, sudah mula menunjukkan kesannya dari segi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan, disebabkan KDNK bukan sekadar angka, kehilangan pekerjaan. Jadual di bawah meringkaskan beberapa data dari Asia dan seluruh dunia dengan merujuk kepada suku pertama tahun 2020.

Kita tahu angka-angka ini boleh diterjemahkan kepada lonjakan pengangguran. Sehingga bulan April 2020, pengangguran di Amerika Syarikat meningkat kepada 14.7% berbanding 4.4% pada bulan Mac. Kita masih belum mempunyai data bulan April untuk Malaysia, tetapi sehingga bulan Mac 2020, pengangguran meningkat dari 3.3% kepada 3.9% bermaksud kira-kira 100,000 pekerjaan telah hilang. Hal ini lebih signifikan jika kita pertimbangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang hanya dilaksanakan bermula 18 Mac dan dalam angka tersebut tidak termasuk jumlah pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji. Kini tiba masa untuk kita lakukan satu analisis secara serius terhadap pelaksanaan pelbagai strategi dan keseimbangannya, supaya dapat dielakkan lebih banyak kerosakan yang tercetus akibat dasar yang dilaksanakan berbanding kerosakan yang dicetuskan oleh virus itu sendiri. Situasi yang berbeza memerlukan jawapan yang berbeza, tidak semestinya satu jawapan yang sama di seluruh dunia.

Seperti yang kita tahu di Malaysia, seperti negara Asia Tenggara lain, penyebaran wabak COVID-19 amat terhad dan kadar kematian juga sangat rendah jika diandingkan dengan situasi di negara-negara Barat. Di Malaysia dan di rantau Asia Tenggara ini, jumlah populasi yang maut akibat virus corona ini ialah sebanyak 0.0003%. Jumlah kematian akibat COVID-19 di Asia Tenggara mewakili 0.66% dari jumlah keseluruhannya, walaupun Asia Tenggara merangkumi 10% daripada jumlah penduduk dunia. Dalam senario ini, beserta dengan timbulnya kesedaran untuk mengurangkan kebergantungan yang terlalu tinggi terhadap rantaian bekalan dari China, Asia Tenggara berada pada posisi yang tepat untuk memainkan peranan utama dalam dunia pasca-virus corona. Walau bagaimana pun, peluang ini tidak akan dapat direalisasikan dengan sendirinya, ia memerlukan panduan.

Bermula 4 Mei, ekonomi Malaysia dibenarkan dibuka semula dengan tahap tertentu. Walau pun begitu, satu strategi keluar yang kukuh perlu mengambil kira beberapa elemen penting. Pertama, ekonomi bukan ‘makanan sejuk beku’; yang boleh diletakkan di tepi dan dinyahbeku apabila diperlukan. Perintah sekatan separa telah mengakibatkan beberapa perniagaan terpaksa ditutup terus dan ini bermaksud modal (modal kewangan, fizikal, dan tenaga manusia) yang ada telah digunakan, hilang dan tidak dapat digunakan secara terus untuk kegunaan lain. Hal ini juga memberikan isyarat bahawa kehidupan manusia amat terkesan melalui kehilangan pekerjaan.

Fakta penting kedua ialah ekonomi tidak bersifat sehala: pengeluaran tidak boleh digerakkan semula dengan mengharapkan sistem akan kembali seperti biasa. Barangan dihasilkan supaya dapat digunakan, tetapi supaya pengguna dapat memanfaatkannya kita memerlukan: 1) rakyat kembali mempunyai pendapatan, 2) rakyat dibenarkan keluar dan berbelanja, 3) rakyat yakin dan optimis untuk membelanjakan wang mereka.

Hal ini membawa kita kepada poin ketiga: kepentingan  keyakinan dan jangkaan. Suasana ketakutan terhadap pengumuman beberapa dasar dan sikap media yang mengambil kesempatan terhadap hal tersebut tidak bagus kepada penggunaan dan juga pelaburan. Maklumat yang didapati dari komuniti perniagaan ialah pelaksanaan tatacara pengendalian piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang baharu bukan sesuatu yang mudah dan sering kali institusi-institusi berkaitan mengeluarkan arahan yang bertentangan. Dalam senario ini, pihak berkuasa politik telah mengancam pemilik perniagaan yang tidak mematuhi tatacara pengendalian piawai dengan hukuman penjara dan ancaman penutupan perniagaan kepada firma yang mempunyai pekerja yang positif COVID-19 (seolah-olah virus boleh berjangkit hanya di tempat kerja). Siapakah yang sanggup mengambil risiko menjalankan perniagaan dalam suasana yang diinstitusikan sebegini? Pelaburan kewangan spekulatif mungkin lebih rendah risikonya dan lebih menguntungkan (pasaran kewangan tidak menghadapi kesukaran seperti ekonomi sebenar dalam krisis ini).

Begitu juga dengan penggunaan, tidak boleh bermula semula hanya dengan desakan dan permintaan untuk keluar rumah jika perlu sahaja. Pembukaan semula perniagaan dan kebebasan pergerakan separa tidak dapat memberi hasil yang diharapkan jika keadaan dan strategi komunikasi tidak berubah. Risikonya ialah kita akan menambahkan lagi tekanan ekonomi secara kekal, selain daripada kematian akibat COVID-19 dan kesengsaraan kepada manusia dan ekonomi disebabkan perintah  sekatan, kerana kekurangan keyakinan dan kepercayaan. Subsidi dan pelonggaran secara kuantitatif tidak akan membantu.

Negara lain seperti Indonesia dan Thailand mengambil pendekatan yang berbeza untuk mencipta kepercayaan. Thailand umpamanya, sedang berbincang untuk membuka semula semua aktiviti termasuk pelancongan; walau pun belum ada keputusan yang diambil tetapi sekurang-kurangnya perbincangan sedang berlaku. Indonesia pula lebih agresif, sedang membincangkan untuk memberi kelonggaran kepada pelaburan langsung asing (FDI) dan pekerja-pekerja ekspatriat serta melancarkan inisiatif-inisiatif ekonomi yang penting seperti Koridor Ekonomi Jawa Tengah dan Kawasan Perindustrian Brebes, kedua-duanya dirancang untuk menarik minat perniagaan yang sedang mencari destinasi yang lebih baik selepas meninggalkan China kerana COVID-19 dan perang dagang.

Di manakah Malaysia berada dalam pergelutan demi masa depan ini? Mensasarkan pekerja asing dalam kecemasan virus corona ini, misalnya, mungkin akan meningkatkan kos buruh pada masa depan. Mengancam perniagaan dengan hukuman penjara dan penutupan akan menyebabkan syarikat-syarikat multi nasional berpindah keluar. Hasil yang baik menentang virus ini, dengan sistem penjagaan kesihatan yang kukuh telah memainkan peranan yang sangat penting, berpotensi menjadi sia-sia jika Malaysia dilihat tidak lagi negara yang mesra perniagaan serta satu destinasi pelaburan yang menarik. Kehilangan pekerjaan, penutupan firma perniagaan, perpindahan keluar syarikat multi nasional, kejatuhan harga minyak; juga bukan prospektif yang baik kepada pendapatan kerajaan.

Malaysia perlu mengambil langkah seterusnya dengan berhati-hati, persaingan dari negara-negara jiran sedang meningkat dan sekarang bukan masa untuk merasa selesa dengan masa lalu.

2020-05-28T11:06:53+00:00 28th May 2020|Opinion|Comments Off on Apakah Masa Depan Ekonomi Malaysia?